Beberapa hari yang lalu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ada mengeluarkan kenyataan berkenaan 2 pemain yang menggantikan pemain skuad kebangsaan yang mengalami kecederaan, dimana salah seorang daripadanya adalah Dion Cools.

Syahmi Safari dan Dion Cools mengalami kecederaan dan 2 pemain lain dipanggil  menggantikan tempat tersebut.

Namun, sebentar tadi kelab FC Midtjylland telah memuat naik senarai kesebelasan utama pasukan mereka dan yang menariknya Dion Cools tersenarai sebagai pemain simpanan untuk bertemu Aarhus Gymnastikforening atau AGF hari ini.

Perkara ini telah mengundang persoalan kepada penyokong skuad kebangsaan Malaysia mengenai status kecederaan yang dialami oleh Dion Cools sama ada benar atau tidak beliau mengalami kecederaan sehingga terpaksa digantikan dengan pemain lain untuk menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Jordan pada 6 Oktober 2021 dan Uzbekistan pada 9 Oktober 2021, kedua-duanya berlangsung di Amman, Jordan.

Cools
Sumber Gambar: FAM

Pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe hanya mengekalkan 10 pemain dari kem latihan pusat terdahulu pada Mei dan Jun lalu iaitu ketika menghadapi baki tiga perlawanan Kumpulan G, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu UAE, Vietnam dan Thailand di Dubai, UAE.

Dua perlawanan persahabatan itu merupakan medan terbaik buat Cheng Hoe menilai pemain yang dipanggil kali ini sebagai persiapan awal bagi membentuk skuad terbaik Harimau Malaya menjelang Piala Suzuki AFF 2020 dari 5 Disember 2021 hingga 1 Januari 2022 dan seterusnya Pusingan 3, Kelayakan Piala Asia 2023 pada tahun hadapan.