Kelab gergasi Thailand, Buriram United mengesahkan kejuaraan Thai League 1 2022/23 menjadi milik mereka selepas berjaya menundukkan Chiang Rai United 2-1, malam tadi.

Baca Juga:

Beraksi di Leo Chiang Rai Stadium langsung tidak menganggu rentak skuad yang turut dibarisi pemain skuad kebangsaan, Dion-Johan Cools itu untuk meraih kemenangan.

Dion Cools turut beraksi selama 15 minit pada perlawanan ini apabila beliau masuk menggantikan pemain tengah,Peeradon Chamratsamee pada minit ke-75.

Hanya memerlukan satu mata untuk mengesahkan kejuaraan buat kali kelapan, Buriram United tampil dengan lebih baik menguasai permainan sebaik wisel permulaan ditiupkan pengadil.

Ia dibuktikan apabila pasukan pelawat mendapat peluang terbaik pada minit ke-12 menerusi Phillip Rokic menerusi situasi sepakan penjuru, bagaimanapun rembatan pemain bek kiri kelahiran Sweden itu sekadar melewati palang gol.

Jaringan dinantikan anak buah Masatada Ishii itu hadir pada minit ke-30 apabila Rokic menolak masuk bola umpanan Pansa Hemviboon ketika situasi sepakan penjuru diambil Theerathon Bunmathan

Memasuki minit ke-67 juga menerusi situasi sama, Hemviboon pula meletakkan nama selaku penjaring apabila beliau yang tidak dikawal mudah menanduk masuk bola bagi melebarkan kedudukan.

Tuan rumah cuba bangkit dengan jaringan Kim Ji-min berselang lima minit kemudian tetapi ia masih belum cukup untuk menghalang kemenangan serta pesta pasukan yang dikenali dengan panggilan ‘Thunder Castle’ itu.

Ketika aksi liga masih berbaki tiga perlawanan, Buriram United kini bakal mengalihkan tumpuan dalam usaha untuk memenangi kejuaraan ‘treble’.

Hal ini kerana Buriram United masih berjuang dalam Thai League Cup yang sudah memasuki aksi separuh akhir dimana perlu berhadapan dengan Pracuap.

Manakala pada 28 Mei pula mereka akan bertemu Bangkok United di pentas final Piala FA.