Pemain pertahanan skuad kebangsaan, Dion Cools terus menampilkan prestasi cemerlang dalam Liga Thailand apabila membantu kelabnya, Buriram United muncul juara Piala Liga Thai selepas menewaskan BG Pathum United, 2-0 semalam.
Baca Juga:
- Dion Cools Tersenarai Dalam ‘Team Of The Season’ Liga Thailand
- Dion Cools, Buriram United Muncul Juara Thai League 1 2022/23
- Dion Cools Kongsi Perubahan Selepas Beraksi Bersama Malaysia
Beliau diturunkan dalam kesebelasan utama dan beraksi selama 90 minit berganding bersama Pansa Hemviboon yang juga merupakan pemain pertahanan skuad kebangsaan Thailand.
Dalam perlawanan itu, Buriram United membuka akaun jaringan seawal minit ke 13 menerusi tolakan pemain import Serbia, Goran Causic hasil sepakan sudut yang diambil oleh Theerathon Bunmathan.
Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama dan Dion Cools berjaya mematahkan beberapa gerakan berbahaya yang dilakukan oleh gandingan serangan BG Pathum.
Buriram juga terpaksa menunggu hingga minit akhir perlawanan untuk mendapatkan gol kedua menerusi rembatan Supachai Jaided yang mudah menewaskan penjaga gol BG Pathum, kittipong phuthawchueak.
Kemenangan ini juga bermakna Dion Cools telah raih trofi kedua bersama Buriram United selepas membantu kelab itu mengesahkan kejuaraan Liga Thai musim 2022/2023 bulan lepas.
Mereka juga berpeluang menambah trofi ketiga apabila dijadualkan bertemu Bangkok United di pentas final Piala FA pada 28 Mei ini sekaligus bakal melengkapkan musim cemerlang Dion Cools di Liga Thailand dengan kejuaraan ‘Treble’.
Selain memenangi trofi, Cools juga tersenarai dalam kesebelasan terbaik Liga Thailand musim ini bersama Michael Falkesgaard (Bangkok United), Rebin Sulaka, Theerathon Bunmathan, Supachai Jaided, Suphanat Mueanta (Buriram United) dan Samuel Rosa (PT Prachuap).
Prestasi cemerlang yang ditampilkan oleh pemain kelahiran Kuching itu pasti melegakan ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon dalam pembentukan skuad yang mantap untuk saingan Piala Asia 2023 tahun depan.