Ketika pasukan lain memilih negara Asia sebagai lokasi pra musim, Kedah Darul Aman (KDA FC) mengambil langkah yang berbeza apabila bakal ke benua eropah bermula 5 Februari menentang kelab dari Uzbekistan, Kazakhstan dan Ukraine.
Baca Juga:
- RASMI: Jonathan Balotelli Perkuat Jentera Serangan Kedah Darul Aman
- Kedah Bakal Memiliki Fasiliti Lengkap Di Suka Menanti
- Faktor Nafuzi Dorong Wan Amirul Afiq Ke Kedah
Pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar mengesahkan pasukan tersebut akan berada di Turkiye selama 10 hari untuk perlawanan pra musim sebagai persiapan menghadapi saingan Liga Malaysia 2023.
Skuad kendalian Nafuzi Zain itu berpeluang menguji kekuatan menentang FC Nasaf (Uzbekistan), FC Metalist Kharkiv (Ukraine) serta dua kelab dari Kazakhstan, FC Shakter Keraganda dan FC Maqtaraal.
Rasmi pasukan KDA FC akan ke Antalya, Turki bagi jelajah pra-musim 2023 bermula 6 hingga 14 Februari 2023. pic.twitter.com/U63PieBlFp
— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) January 29, 2023
Difahamkan semua aksi ini akan berlangsung pada jam 5 petang waktu tempatan (Turkiye) bersamaan 10 malam waktu Malaysia.
“Sepanjang 10 hari berada di Antalya, Sang Kenari akan mengadakan empat perlawanan persahabatan bertemu pasukan FC Nasaf dari Uzbekistan pada 9 Februari, FC Shakter Karaganda dari Kazakhstan (10 Februari), FK Maqtaraal dari Kazakhstan (12 Februari) dan pasukan terakhir FC Metalist Kharkiv dari Ukraine (14 Februari),” kata Mohd Daud.
Lebih menarik, mereka akan menginap di Limak Arcadia Sports Resort yang turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan sukan seperti padang bola sepak, gelanggang tenis, padang golf, gymnasium serta kolam renang untuk aktiviti ‘recovery’ pemain.
Limak Arcadia Sports Resort adalah lokasi yang ideal untuk kem pra musim danĀ pernah menjadi tempat latihan pasukan kebangsaan Indonesia serta beberapa kelab eropah.
Siap dibina pada tahun 1995, resort ini mempunyai daya tarikan tersendiri dan dikelilingi pokok pain yang kini berusia 100 tahun. Terdapat ia juga terletak di tepi pantai dengan pemandangan yang menakjubkan sekaligus memberikan pengalaman unik kepada para pemain dan pegawai KDA FC.
Selain berlatih bola sepak, para pemain Kedah berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik yang ditawarkan dalam kawasan ini seperti memanah, menunggang kuda, berkanu dan berbasikal.
Aktiviti akan membantu mengurangkan tekanan para pemain KDA FC sebelum kembali ke tanah air menghadapi musim baharu Liga Malaysia.
Dalam perkembangan lain, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar turut mengumumkan Rakan Strategik KDA FC, ESM Internationale Sdn. Bhd., sebagai perunding KDA FC dalam pelbagai aspek terutamanya pemasaran.
Jelajah di Turkiye ini merupakan projek sulung ESM dalam memastikan perancangan jelajah pra-musim KDA FC di eropah menjadi kenyataan.