Pengadil dari Jepun, Ryuji Sato menjadi bualan peminat bola sepak Asia Tenggara selepas prestasi buruknya ketika mengadili perlawanan kumpulan B saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 antara Malaysia menentang Vietnam baru-baru ini.

Baca Juga:

Selepas perlawanan dan menerima kecaman dari peminat Malaysia, Sato menggunakan laman media sosial miliknya untuk memohon maaf di atas keputusannya yang jelas tidak memihak kepada skuad Harimau Malaya.

Ryuji Sato
Sumber Gambar: Instagram Ryuji Sato

“Saya telah menerima banyak mesej dari peminat Malaysia mengenai keputusan saya pada perlawanan semalam. Saya telah menerima panggilan dari presiden pengadil FIFA dan mereka akan membuat keputusan mengenai prestasi saya semalam.

“Saya minta maaf kepada rakyat Malaysia. Tolong jangan serang Instagram peribadi saya kerana saya mempunyai keluarga dan mereka membaca semua komen anda,” kata Ryuji Sato.

Sato membuat beberapa keputusan yang jelas merugikan pasukan negara seperti tidak melayangkan kad merah kepada pemain pertahanan Vietnam, Doan Van Hau setelah pemain itu menyiku Azam Azmi Murad di bahagian dada pada separuh masa pertama.

Selain itu, Van Hau membuat dua lagi kesalahan yang tidak mendapat perhatian Sato dimana beliau turut menyiku Shahrul Nazeem dan mengasari Azam Azmi. Tiada kad dikeluarkan terhadap Van Hau namun Azam kemudiannya dilayangkan kad merah.

Tidak cukup dengan layangan kad merah kepada Azam, Sato turut menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan lawan.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium My Dinh, Nguyen Tien Linh berjaya menanduk masuk bola susulan sepakan penjuru yang diambil Ho Dung Do pada minir ke-28 bagi meletakkan skuad kendalian Park Hang-seo dihadapan.

Berselang empat minit kemudian, Vietnam terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Nguyen Van Toan diperintahkan keluar padang ekoran kad kuning kedua diterimanya.

Que Ngoc Hai mengambil sepakan penalti pada minit ke-64 dan tidak berdepan masalah untuk menewaskan Syihan Hazmi sekaligus memberikan jaringan kedua bagi Vietnam.

Nguyen Quang Hai membuktikan mengapa beliau digelar bintang Vietnam apabila lorongan baiknya sebaik sahaja dimasukkan memberikan ruang seluasnya buat Nguyen Hoang Duc untuk mengesahkan kemenangan 3-0 buat juara dua kali itu.