Pertembungan derbi pantai timur di antara Terengganu FC menentang Pahang malam ini dijangka lebih menarik kerana kedua-dua pasukan terdesak untuk memburu tiga mata penuh bagi menempatkan dalam kedudukan tiga teratas Liga Super musim ini.
Selepas mengharungi 20 perlawanan, skuad penyu kini mengumpulkan 28 mata dan berpeluang berada di kedudukan ketiga jika menewaskan Pahang manakala skuad tok gajah akan dinobatkan sebagai naib juara jika mereka mengutip tiga mata penuh malam ini.
Namun, ianya bukan tugas mudah bagi Pahang kerana Terengganu FC kini berada dalam prestasi terbaik berdasarkan keputusan tiga perlawanan terakhir sebelum ini, apabila mereka menewaskan Kuala Lumpur (3-1) dan PKNS FC (2-1) serta bangkit daripada ketinggalan mengikat Kedah 2-2.
“Dalam tiga perlawanan terakhir ini, kita seperti mendapat semangat baharu untuk berjuang sehingga ke minit-minit akhir bagi memburu gol.
“Jika semangat ini terus ada pada setiap pemain, tidak mustahil TFC mampu meraih kemenangan menentang Pahang di laman sendiri,” kata penyerang import Terengganu FC, Kipre Tchetche dalam Utusan Malaysia
Dengan berbaki 2 perlawanan lagi, Tchetche tekad memastikan Terengganu FC mengutip tiga mata penuh meskipun sedar bakal berdepan lawan yang lebih kuat.
“Kita sedar bakal berdepan dua pasukan gergasi Liga Malaysia, Pahang dan juara liga musim ini, Johor Darul Takzim (JDT) pada perlawanan terakhir 19 Julai ini.
“Tetapi kita masih berpeluang melonjak ke kedudukan lebih baik memandangkan kutipan mata antara pasukan tempat ketiga hingga ketujuh tidak banyak beza, malah ada yang dibezakan dengan satu mata,” katanya.
Sementara itu, kapten pasukan, Lee Tuck, percaya dengan kemampuan rakan sepasukannya untuk mengekalkan aksi yang konsisten berdasarkan falsafah baharu yang diterapkan oleh jurulatih sementara, Nafuzi Zain.
“Saya tidak fikir ia satu masalah. Kami memahami falsafah dan cara permainannya.
“Kami memiliki barisan kejurulatihan yang baik di sini. Kami sudah membuktikannya ke atas Kedah dan kami bermain dengan menyedari tangungjawab masing-masing di atas padang.
“Kami hanya perlu mengekalkannya dan tidak perlu mengubah banyak perkara. Harap-harap ia akan berpihak kepada kami malam esok,” katanya.