Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan tiada tangan ghaib dalam badan itu dan beliau tidak mempunyai masalah sekiranya ada pihak luar cuba membantu FAM khususnya mengenai skuad kebangsaan.

Datuk Hamidin berkata demikian ketika sesi townhall bersama peminat di Kuala Terengganu semalam dan beliau menyatakan idea serta pandangan dari pihak luar tidak boleh dianggap sebagai tangan ghaib.

“Kalau tanya saya sebagai Presiden, tak ada ‘tangan ghaib’. Mungkin Lekir katakan TMJ (Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim), saya mengatakan sesiapa pun membantu, dan penyokong yang mungkin marah, tapi ia menyumbang kepada bola sepak negara.

“Kita tidak boleh puaskan semua pihak ataupun semua jurulatih. Saya selalu bercakap dengan jurulatih kebangsaan, dengan Kim Pan-gon baru ini, mungkin untuk persiapan ke Piala Asia akan ada pemain yang mengalami kecederaan.

“Tapi kadang-kadang ini adalah rencahnya dalam mengendalikan bola sepak. Bagi saya semuanya menyumbang kepada bola sepak negara. Kalau awak kata tangan ghaib, saya tak anggap itu tangan ghaib, tapi itu adalah satu pandangan dan mungkin satu perkara yang kita perlu atasi dan ada hikmahnya,” katanya.

Sebelum ini, terdapat dakwaan yang mengatakan wujud tangan ghaib dalam badan itu yang menentukan pemilihan pemain yang akan beraksi bersama pasukan negara.