Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), Damian Yeo menuntut permohonan maaf daripada bekas ketua pasukan Melaka United, Shukor Adan selepas pemain itu dianggap merumitkan keadaan mengenai isu tunggakan gaji.
Menurut Damian, Shukor sepatutnya berjumpa sama ada dengannya atau Timbalan Presiden, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi serta Setiausaha Agung persatuan, Farhan Ibrahim sebelum mengambil sebarang tindakan.
“Memang dia ada hak, saya tidak nafikan, tetapi ini akan melambatkan pembayaran gaji kepadanya. Kita mungkin akan bayar habis tunggakan pada 15 Januari depan atau sekurangnya-kurangnya sebelum Februari 2019.
“Tetapi, bila dia telah failkan afidavit, saya kena jawab dalam tempoh 14 hari dan dia pula kena melakukan perkara sama. Perkara ini mungkin akan berpanjangan hingga saingan liga musim 2020 tamat.
“Cara mudah adalah dia tarik semula kes dan mohon maaf kepada persatuan, sebab itu saya cakap jika dia mahu bermain dengan api, saya akan berikan dia api,”
“Kalau dia mahukan duit, dia kena minta maaf,” katanya menurut laporan MelakaFA.blogspot.
Isu tunggakan gaji Shukor dengan MUSA turut mendapat perhatian pemilik Johor Darul Ta’zim, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dimana baginda mengarahkan Damian agar segera membayar gaji pemain berusia 40 tahun itu.
Isnin lalu, Shukor telah menghantar afidavit bagi menuntut hak gaji dan bonus daripada Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Baca artikel lain mengenai isu tunggakan gaji pemain Melaka United di sini:
Damian Yeo Beri Amaran Kepada Shukor Adan Berhubung Isu Tunggakan Gaji