Skuad bawah 23 (B-23) tahun negara bakal berdepan cabaran dari segi keadaan cuaca sejuk bawah 6 darjah celsius di bandar Ulaanbaatar dalam saingan Kelayakan Piala Asia B-23 yang bermula pada hari isnin ini.
Malaysia hanya sempat berlatih di dalam negara yang merekodkan suhu lebih panas sekitar 31-34 darjah celcius danĀ anak buah Brad Maloney hanya mempunyai 4 hari untuk membiasakan diri dengan cuaca sejuk.
Namun begitu, Maloney tidak mahu menjadikan keadaan cuaca sejuk sebagai alasan kerana yakin para pemainnya mampu menyesuaikan diri dan ada diantara mereka mempunyai pengalaman beraksi dalam cuaca sejuk di eropah.
“Kita akan pastikan semua pemain berada dalam keadaan baik kerana cuaca bukanlah boleh dikawal dan barisan kejurulatihan akan memantau mereka.
“Kebanyakan pemain ini ada pengalaman di mana ada antara mereka yang pernah beraksi dalam cuaca sejuk apabila bersama pasukan kebangsaan sebelum ini atau ketika dengan kelab masing-masing.
“Cuaca sejuk yang bakal kita hadapi memang cabaran besar tetapi ia bukan alasan untuk kita tidak menampilkan permainan baik di sana nanti,” kata Maloney dipetik dalam Arena Metro.
Skuad negara sempat mengadakan tiga perlawanan persahabatan menentang Negeri Sembilan FC, Penang FC dan Kedah Darul Aman FC. Maloney sudah pun mempunyai gambaran kesebelasan utama dan yakin dengan kemampuan para pemain yang dipilih.
“Semua pemain mempamerkan peningkatan corak permainan dan ia adalah satu perkara positif dalam usaha membentuk pasukan mantap.
“Kita akan menggunakan peluang dan masa yang ada untuk membuat persediaan rapi. Sememangnya tiga perlawanan persahabatan sebelum ini banyak mengajar mereka untuk bermain lebih baik,” jelasnya.
Malaysia akan bertemu Laos pada 25 Oktober 2021 (3.00 petang) diikuti aksi menentang tuan rumah, Mongolia pada 28 Oktober 2021 (11.00 pagi) dan perlawanan terakhir berdepan Thailand pada 31 Oktober 2021 (11.00 pagi) bagi merebut tempat ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan pada Jun 2022.
Semua perlawanan ini dimainkan di atas padang tiruan dan akan disiarkan secara langsung melalui RTM Sports HD serta TV Okey.
Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan melalui pautan dibawah.
Shebby Singh Cadang Harimau Malaya Pakai Formasi 3-4-3 Di Piala Suzuki AFF 2020