Chelsea meraih kemenangan sulung dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2022/23 selepas menundukkan AC Milan 3-0 pada aksi ketiga kumpulan E yang berlangsung di Stamford Bridge, sebentar tadi.
Baca Juga:
- UCL: Chelsea Tercorot Kumpulan E Selepas Diikat Salzburg Namun Potter Puas Hati
- Aubameyang Sertai Chelsea: “Urusan Saya Di EPL Masih Belum Selesai”
- Tuchel: “Aubameyang Tidak Takut Sumpahan No.9 Di Chelsea”
Kemenangan itu hadir tepat pada masanya kerana Chelsea hanya mengutip satu mata pada dua aksi terakhir susulan kekalahan 0-1 ditangan Dinamo Zagreb dan seri 1-1 bertemu RB Salzburg.
Tuan rumah hampir berada dihadapan seawal minit kelima, namun percubaan ‘placing’ cantik dilakukan Mason Mount dari luar kawasan penalti selepas menerima umpanan Pierre-Emerick Aubameyang diselamatkan penjaga gol, Ciprian Tatarusanu.
Minit ke-22 menyaksikan Tatarusanu bertindak cemerlang dalam menafikan tandukan Thiago Silva yang menerima hantaran baik daripada Mason Mount.
Kehampaan tersebut ditebus Wesley Fofana berselang dua minit kemudian setelah pertahanan tengah itu mengambil kesempatan di atas keadaan kelam-kabut ketika situasi sepakan penjuru untuk gol pertama The Blues.
Ia juga merupakan gol sulung dihasilkan oleh beliau buat Chelsea selepas menyertai kelab London itu pada jendela perpindahan musim panas lalu.
Mount hampir menambah jaringan pada minit ke-33 tetapi gol itu dibatalkan kerana Aubameyang yang memulakan gerakan tersebut berada dalam kedudukan ofsaid.
Satu-satunya percubaan tepat yang dimiliki oleh AC Milan adalah pada masa kecederaan babak pertama apabila gerakan lincah Rafael Leao memberikan ruang buat Charles De Ketelaere untuk melakukan rembatan dari jarak dekat.
Bagaimanapun, Kepa Arrizabalaga tenang menafikan percubaan jarak dekat itu manakala rembatan susulan daripada Rade Krunic pula sekadar meliar melewati palang gol.
Bagaikan mendapat tonik berguna di bilik persalinan, Chelsea menambah gol kedua pada minit ke-56 menerusi Aubameyang yang mudah menguis masuk bola susulan hantaran lintang berkualiti daripada Reece James.
Ini merupakan gol kedua buat Aubameyang selepas beliau turut menemui sentuhan jaringan pada pertemuan liga menentang Crystal Palace, minggu lalu.
Kemudiannya, giliran James sendiri meledakkan rembatan jarak dekat selepas menerima lorongan Raheem Sterling untuk memastikan kemenangan 3-0 buat Chelsea.
Dengan kemenangan ini, Chelsea dan AC Milan terikat dengan empat mata tetapi skuad kendalian Graham Potter itu memiliki kelebihan defisit jaringan untuk menduduki tempat kedua, kekurangan satu mata berbanding pendahulu kumpulan, RB Salzburg.