Chelsea yang dirundung pelbagai masalah pada musim ini difahamkan akan membuat rombakan besar-besaran terhadap barisan pemain kelab tersebut bagi menghadapi musim 2023/24.
Baca Juga:
- Mauricio Pochettino Dilantik Sebagai Pengurus Baharu Chelsea
- Klopp Simpati Dan Gembira Tengok Kepayahan Chelsea
- Chelsea Ingatkan Pemain Akan Dipotong Gaji 30% Jika Gagal Ke UCL
Dengan kehadiran Mauricio Pochettino yang diberikan kepercayaan untuk membina kembali pasukan, terdapat banyak kerja rumah perlu dilakukan oleh pengendali kelahiran Argentina tersebut.
Tugasan pertama yang perlu bermain di minda beliau sudah pastinya mahu melihat keperluan pemain sedia ada terhadap sistem atau projek ingin dijalankannya nanti.
Menurut sumber Goal, terdapat lebih 15 pemain yang berkemungkinan akan meninggalkan Stamford Bridge bagi mencari haluan lain.
Pemain-pemain yang berada dalam senarai tersebut ialah Christian Pulisic, Mateo Kovacic, Hakim Ziyech, N’Golo Kante, Kalidou Koulibaly, Edouard Mendy, Pierre-Emerick Aubameyang, Cesar Azpilicueta dan Callum Hudson-Odoi.
Malah, produk keluaran Akademi Chelsea seperti Mason Mount, Conor Gallagher, Trevoh Chalobah dan Ruben Loftus-Cheek juga dikatakan bakal meninggalkan pasukan.
Pochettino dikatakan berminat untuk mengekalkan Mount tetapi kedua-dua belah pihak masih belum mencapai kata sepakat berhubung kontrak lanjutan melibatkan pemain tengah tersebut.
Selain itu, khidmat Joao Felix dan Denis Zakaria yang dipinjamkan ke The Blues tempoh hari juga tidak disambung kerana tiada dalam perancangan Pochettino.
Selepas pemergian Roman Abramovich berikutan campur tangan kerajaan ekoran perang melibatkan Rusia ke atas Ukraine, Chelsea telah menghadapi musibah pada musim 2022/23.
Bermula dengan pemecatan Thomas Tuchel, penggantinya iaitu Graham Potter tidak mampu menghadirkan impak positif sehingga beliau turut dipecat.
Musim 2022/23 menyaksikan Chelsea hanya mampu menduduki tangga ke-12 selepas mengumpul 44 mata hasil 11 kemenangan, 11 keputusan seri dan 16 kekalahan.