Kekalahan kepada Malaysia dalam perlawanan kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 nyata memberi kesan yang mendalam terhadap pemain Thailand.
Pemaim bintang pasukan, Chanathip Songkrasin menggesa rakan sepasukan untuk lebih bernafsu serta mengurangkan kesilapan pada pertemuan menentang Vietnam pada Selasa ini.
“Tewas pada perlawanan ini sememangnya menjadi salah kami. Secara keseluruhan pasukan telah beraksi dengan baik. Kami akan terus berjuang pada perlawanan akan datang dan cuba untuk memperbaiki kesilapan.
“Saya percaya semua pemain perlu lebih bernafsu dan memberikan tumpuan 100% ketika berada di atas padang. Sebelum berdepan Vietnam, kami perlu memperbaiki segala kelemahan,” kata Chanathip menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh laman media sosial rasmi pasukan.
Pada masa yang sama, pemain Consadole Sapporo itu meminta maaf kepada penyokong yang hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil kerana tidak dapat menghadiahkan kemenangan.
“Saya ingin memohon maaf kepada penyokong yang hadir kerana gagal untuk membawa pulang kemenangan. Pada perlawanan menentang Vietnam kami akan memberikan yang terbaik,” tambahnya.
Thailand akan bertandang ke Hanoi pada 19 November ini manakala pasukan negara akan menerima kunjungan Indonesia di SNBJ.
Baca artikel lain mengenai perlawanan antara Malaysia menentang Thailand di sini:
Akira Nishino Gesa Pemain Lupakan Kekalahan Kepada Malaysia Dan Fokus Untuk Hadapi Vietnam
Berjuang Sehingga Ke Minit Terakhir Faktor Utama Malaysia Tewaskan Thailand
Tan Cheng Hoe Puji Brendan Gan, Gesa Pemain Muda Ikuti Jejak Langkah Beliau