Seorang bekas pemain skuad Harimau Malaya ditahan oleh pihak berkuasa kerana dipercayai menceroboh masuk bilik hotel seorang wanita berstatus isteri orang.

Bekas pemain itu menyinar bersama skuad Harimau Malaya dan juga salah sebuah pasukan Liga Super pada awal 2000an didakwa menceroboh masuk dan kemudiannya bertindak agresif sehingga berlaku kekecohan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita kira-kira jam 6.10 petang, mendakwa suspek menceroboh masuk ke biliknya.

“Siasatan dijalankan mendapati berlaku perselisihan faham antara suspek dan mangsa menyebabkan mangsa meninggalkan bilik hotel tersebut untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Beliau berkata, siasatan dijalankan kemudian membawa kepada penangkapan suspek di sekitar kawasan Petaling Jaya sebelum suspek direman untuk siasatan selanjutnya.

Bagaimanapun suspek tersebut telah dilepaskan dengan jaminan polis sementara menunggu siasatan lanjut dijalankan dan disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, seorang lagi bekas pemain skuad kebangsaan iaitu Rizal Ghazali ditahan oleh pihak polis atas tuduhan memukul serta merosakkan telefon bimbit milik teman wanitanya pada dua minggu lalu.

Bagaimanapun, Rizal mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Mengikut pertuduhan, Rizal didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Hani Farhana Hasrul Sani dengan memukul wanita itu di sebuah bilik hotel di Petaling Jaya pada jam 6 pagi, 7 Jun lalu.