Rekrut baharu Chelsea, Moises Caicedo bertekad mahu meletakkan kelab tersebut kembali ke tempat sebenarnya selepas melalui musim 2022/23 yang penuh kekecewaan.

Teka-teki mengenai masa depan Caicedo berakhir awal pagi tadi selepas beliau secara rasminya diperkenalkan sebagai pemain baharu Chelsea dengan yuran perpindahan bernilai £115 juta juta.

Satu nilai yang sekali gus menjadikan pemain muda tersebut sebagai rekod perpindahan termahal British dengan kontrak selama lapan tahun.

Dikenali sebagai penyokong Chelsea sejak dari zaman kanak-kanaknya, Caicedo turut mengakui tidak perlu menunggu lama untuk memilih kelab tersebut sebagai destinasi baharu dalam kariernya.

Hakikat itu jelas dibuktikan apabila beliau menolak tawaran menyertai Liverpool ketika segalanya sudah terbuka luas buat beliau untuk melangkah ke Anfield dan memilih Chelsea.

“Saya sangat gembira dapat menyertai Chelsea,” ujar Caicedo menurut kenyataannya di laman sesawang rasmi Chelsea.

“Saya sangat teruja untuk berada di sini yang merupakan kelab yang besar dan saya tidak perlu berfikir dua kali apabila Chelsea menghubungi saya.”

“Saya hanya tahu yang saya mahu menandatangani kontrak bersama kelab ini. Ia merupakan mimpi menjadi nyata untuk berada di sini dan saya tidak sabar untuk mula bersama pasukan.”

“Apabila saya masih kecil, saya menyokong Chelsea dan turut menyaksikan perlawanan. Kini, ia sangat menakjubkan dapat berada di sini. Salah sebuah daripada kelab terbesar di dunia. Saya tidak sabar untuk memberikan yang terbaik dan menulis sejarah saya sendiri.”

“Pasukan ini sangat bagus. Saya sangat menikmatinya. Pemain baharu Chelsea melakukan dengan baik. Saya mahu berada dalam padang bersama mereka. Saya suka gaya bola sepak mereka, ia bagus buat saya. Saya pasti akan dapat menyesuaikan diri dengan pantas.”

“Saya tidak berharap, saya pasti kami akan memenangi banyak kejuaraan dengan kelab yang menakjubkan ini, untuk meletakkan Chelsea di tempat yang sepatutnya,” tambah Moises Caicedo lagi.

Sumber