Ketua jurulatih skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Brad Maloney tidak mahu anak buahnya pulang dengan tangan kosong selepas mereka bekerja dengan begitu keras untuk menghadapi Piala Asia B-23 2022 yang berlangsung di Tashkent, Uzbekistan.
Skuad muda negara tersingkir daripada persaingan untuk mengulangi pencapaian edisi 2018 selepas tumpas pada dua aksi awal bertemu Korea Selatan dan Thailand.
Keadaan itu menyebabkan perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Vietnam pada jam 9.00 malam ini sekadar menjadi pelengkap jadual buat Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi dan rakan sepasukannya.
Namun, Maloney tidak mahu anak buahnya memandang enteng pertembungan terakhir di Stadium Lokomotiv itu dan beliau nyata menginginkan kemenangan.
“Sudah pasti objektif utama kami adalah untuk beraksi dengan lebih baik dan mendapatkan sesuatu pada perlawanan ini dengan membawa pulang tiga mata. Jadi, kami akan menggunakan pendekatan tersebut [untuk raih kemenangan],” ujar Brad Maloney.
“Kami akan membuat penilaian semula terhadap keadaan pemain dimana terdapat beberapa pemain yang berada dalam keadaan cukup kepenatan apabila dilihat pada data GPS. Sehubungan dengan itu, kami akan melakukan beberapa pertukaran pemain dalam kesebelasan utama pasukan.”
“Jika kita lihat, pemain berada dalam keadaan ‘kelaparan’. Mereka telah bekerja keras tetapi masih belum mendapat ganjaran [kemenangan] dalam kejohanan setakat ini.”
“Para pemain telah bekerja keras dan dihukum atas beberapa kesilapan yang dilakukan pada masa itu [bertemu Korea Selatan dan Thailand] tetapi saya pasti mereka akan berjuang berhabis-habisan untuk mendapatkan ganjaran tersebut.”
Tugas sukar bagaimanapun akan dihadapi oleh barisan pemain negara berikutan kemampuan hebat Vietnam dalam mengikat Korea Selatan 1-1 pada perlawanan kedua tempoh hari.
Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad B-23 negara di Uzbekistan melalui pautan dibawah.
Piala Asia B-23: Thailand Tutup Rapat ‘Pintu Harapan’ Skuad Negara
Mukhairi Ajmal: Lupakan Kekalahan, Fokus Aksi Berdepan Thailand