Peminat bola sepak yang sudah lama mengikuti perkembangan Liga Perdana Inggeris (EPL) pastinya mengetahui Blackburn Rovers pernah mewarnai saingan paling popular di dunia ini.

Malah, pasukan yang dikenali sebagai ‘Blue and Whites’ itu turut pernah mengecapi nikmat kemasyhuran selaku juara pada musim 1994/95 dimana gandingan Alan Shearer dan Chris Sutton cukup digeruni lawan.

Ia jelas dibuktikan apabila Shearer meledakkan 34 gol serta mencipta 13 bantuan jaringan dalam kempen liga manakala Sutton pula dengan 15 jaringan dihasilkannya.

Malah, kejayaan Blackburn yang pada ketika itu dibimbing Sir Kenny Dalglish dalam menjuarai kempen EPL 1994/95 akan sentiasa menjadi ‘kisah dongeng’ sepertimana mirip pencapaian luar biasa dilakarkan Leicester City pada musim 2015/16.

Namun selepas 18 musim berada dalam saingan EPL (musim 2011/12), segalanya tampak berubah secara mendadak sehingga Rovers kini tidak lagi seperti dahulu apabila sekadar menjadi kelab dengan prestasi turun naik dan lebih menyedihkan mereka pernah tergelincir ke saingan League One 2017/18.

Pelaburan Jack Walker rintis kejayaan Blackburn Rovers

Kesetiaan usahawan berjaya, mendiang Jack Walker terhadap kelab tersebut dicurahkannya dengan membeli Blackburn Rovers pada Januari 1991.

Difahamkan pada peringkat awal tampuk pemerintahannya, beliau telah mengeluarkan dana sebanyak £25 juta bagi mendapatkan pemain baharu dalam tempoh tiga tahun terawal setelah beliau memiliki kelab tersebut.

Ia termasuklah dengan memecahkan rekod perpindahan tertinggi Inggeris sebanyak dua kali pada ketika itu yang menyaksikan beliau telah merekrut duo serangan, Alan Shearer dari Southampton dengan nilai £3.3 juta serta Chris Sutton pada tahun 1994.

Bergelar pemilik kelab pada pertengahan musim 1990/91, tidak banyak yang dapat dilakukan oleh Walker tetapi pada musim berikutnya sudah mula menampakkan hasil positif kehadiran beliau.

Ia berikutan kemaraan Blackburn ke kempen Liga Perdana Inggeris edisi pertama [1992/93] selepas berjaya menundukkan Leicester City pada perlawanan akhir play-off .

Antara langkah yang boleh dikatakan agak penting diambil Walker adalah dengan melantik Kenny Dalglish pada 12 Oktober 1991.

Percaya kepada proses yang mengagumkan

Enggan bergelar penumpang dalam penampilan sulung bagi saingan tertinggi bola sepak Inggeris itu, Walker telah memberikan kebebasan sepenuhnya kepada Dalglish untuk membawa masuk pemain yang sesuai dengan sistem ingin diterapkannya.

Oleh itu, beliau memilih untuk membawa masuk Shearer yang sebelum itu merupakan sandaran utama buat Southampton. Selain itu, Tim Sherwood, Henning Berg dan Graeme Le Saux turut menjadi pilihan Dalglish dalam usaha beliau menguatkan jentera pasukan.

Musim tersebut menyaksikan Blackburn telah menamatkan saingan di kedudukan keempat dibelakang Manchester United selaku juara, Aston Villa dan Norwich City.

Blackburn mencatatkan 20 kemenangan, 11 keputusan seri dan 11 kekalahan sekali gus mengumpul 71 mata. Satu pencapaian yang boleh dikatakan cukup hebat bagi sebuah kelab yang baharu sahaja dinaikkan pangkat ke liga utama.

Musim pertama itu bagaimanapun bukanlah kempen terbaik buat Shearer berikutan kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) dialaminya ketika menentang Leeds United (Disember 1992) yang menyaksikan beliau terlepas baki aksi selepas itu.

Bagaimanapun, legenda England tersebut masih mampu menjaringkan 16 gol dalam 21 penampilannya dalam saingan liga.

Musim berikutnya memperlihatkan peningkatan ditunjukkan skuad bimbingan Dalglish itu apabila bersaing hebat bersama Manchester United sehingga kedua-dua pasukan terikat dengan 79 mata ketika aksi hanya berbaki lima perlawanan.

Pengalaman bagaimanapun memisahkan apabila The Red Devils berjaya mencatatkan empat kemenangan dan satu keputusan seri pada saat genting tersebut manakala Blackburn pula sekadar menang sekali, seri dua kali dan tewas dua perlawanan untuk mereka menamatkan kempen 1993/94 di tempat kedua.

Kredit Foto: Action Images & Blackburn Rovers

Percubaan ketiga tidak lagi hampa

Melihat masih terdapat kekurangan dalam pasukannya, Jack Walker terus bermurah hati dengan menyuntik dana besar bagi menguatkan lagi skuad Blackburn apabila memecahkan rekod perpindahan British dengan membawa masuk Chris Sutton dari Norwich City dimana yuran perpindahannya bernilai £5 juta.

Dalglish kemudiannya turut memecahkan rekod pembelian termahal British buat penjaga gol setelah berjaya mendatangkan khidmat Tim Flowers [Southampton] yang bernilai £2.5 juta.

Kehadiran Sutton nyata membentuk duo serangan cukup padu buat Blackburn di mana gandingannya bersama Shearer telah menghasilkan 49 gol semusim.

Perseteruan di antara Blackburn dan Manchester United sekali lagi tercetus apabila persaingan tersebut diheret sehingga ke perlawanan terakhir yang menyaksikan Rovers berkelebihan dua mata sebelum aksi ke-42 bermula.

Segalanya tidak berlaku seperti diharapkan oleh Dalglish dan anak buahnya setelah mereka kecundang 1-2 di tangan Liverpool apabila John Barnes dan Jamie Redknapp memadamkan kelebihan awal yang dicipta Alan Shearer pada minit ke-20.

Namun seperti kata pepatah: ‘Kalau dah rezeki tak kemana’, jelas sekali menceritakan perjuangan mereka pada ketika itu.

Ia susulan kegagalan Manchester United untuk meraih kemenangan dan sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 di gelanggang lawan yang meragut impian skuad bimbingan Sir Alex Ferguson itu untuk melakarkan kejuaraan hatrik.

Kejayaan yang sekaligus menamatkan penantian 81 tahun Blackburn untuk memenangi kejuaraan liga.

Kehadiran Jon Dahl Tomasson beri harapan selepas kecewa lebih 10 tahun

Selepas kejayaan tersebut dapat disaksikan prestasi turun naik dipamerkan Blackburn Rovers dan kemuncaknya adalah pada musim 2011/12 yang menyaksikan mereka turun pangkat ke Liga Championship dan jatuh ke saingan League One pada musim 2017/18.

Selepas itu juga memperlihatkan pelbagai masalah telah menghantui kelab tersebut dan nyata cukup sukar buat Blackburn untuk kembali bangkit.

Namun kehadiran bekas penyerang berbisa Denmark, Jon Dahl Tomasson pada 14 Jun 2022 memberikan sekelumit harapan buat penyokong setia Blackburn apabila kelab tersebut pada ketika ini sedang menduduki tangga keenam.

Satu kedudukan yang membolehkan Blackburn Rovers beraksi dalam pusingan play off bagi mengintai peluang untuk kembali beraksi dalam EPL sekiranya mereka dapat konsisten dalam aksi hanya berbaki lapan perlawanan sahaja lagi.