Pemain skuad kebangsaan Laos yang pernah beraksi bersama Sri Pahang, Billy Ketkeophomphone memuji aksi dipamerkan oleh bekas rakan sepasukannya, David Rowley.
Mengepalai jentera tengah skuad negara pada aksi Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 bertemu Laos, kelmarin aksi ditampilkan Rowley disifatkan oleh Billy sebagai lebih meyakinkan berbanding sebelum ini.
“Ya, saya bermain dengan David Rowley, Lee [Tuck] dan [Sergio] Aguero di Sri Pahang, saya dapat melihat perbezaan terhadap aksi David ketika menentang Laos.”
“Dia kelihatan semakin yakin ketika beraksi. Dia mempamerkan aksi cemerlang bersama skuad Malaysia selama 90 minit,” ujar Billy bercakap kepada wakil Vocket FC di Subang.
“Ketika kami bersama Sri Pahang juga dia merupakan seorang pemain yang baik. Sudah pasti sebagai rakan sepasukan saya berbangga melihat aksinya semakin meningkat.”
Selain itu, meskipun jodohnya tidak lama ketika menyarung jersi Sri Pahang, Billy Ketkeophomphone mengakui dirinya gembira dapat berada di Malaysia.
“Saya dan keluarga menikmati pengalaman yang sangat baik di Malaysia dan kami benar-benar sukakan kehidupan di sini.”
Sehubungan dengan itu, beliau tidak menolak sebarang kemungkinan untuk kembali beraksi di Malaysia sekiranya khidmat beliau diperlukan mana-mana pasukan.
Menyertai Sri Pahang pada 28 Januari 2022, Billy gagal menyinar dan jodohnya hanya mampu bertahan selama empat bulan sebelum beliau digantikan dengan pemain skuad kebangsaan Filipina, Kevin Ingreso.