Peluang yang diberikan tidak akan disia-siakan Mohd Suhaimi Husin yang bertekad mahu memastikan gawang Terengganu FC kekal kebal menjelang aksi Liga Super berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC, pada Jumaat.
Dia yang diturunkan dalam empat perlawanan Liga Super selaku penjaga gol utama berharap disiplin ditunjukkan bahagian pertahanan dapat membantunya dalam usaha mengekang kemaraan barisan serangan lawan.
Tambahnya, kualiti hantaran yang dimiliki oleh dua tonggak import baharu Kedah, Mahmoud Al-Mardi dan Sanrawat Dechmitr, perlu diawasi jika mahu memastikan tiga mata menjadi milik Terengganu.
“Saya berpuas hati kerana dapat memastikan gawang tidak bolos semasa menang 1-0 ke atas Kedah pada saingan Piala FA dan membawa Terengganu ke suku akhir.
“Namun perlawanan Jumaat ini sesuatu yang berlainan kerana aksi liga selalunya corak permainan lebih terbuka berbanding peringkat kalah mati yang menyaksikan pasukan lebih berhati-hati.”
“Kami perlu berhati-hati dengan hantaran belakang pertahanan yang boleh dijelmakan pemain import mereka di bahagian tengah kerana sedikit kelekaan boleh membawa padah.”
“Tiga mata di laman sendiri cukup penting bagi memastikan peluang kami untuk berada dalam kedudukan dua atau tiga terbaik, sekaligus memperbaiki pencapaian musim lalu, ” katanya.
Suhaimi yang merupakan penjaga gol utama musim lalu banyak bersilih ganti tempat dengan Rahadiazli Rahalim. Namun kecederaan pemain Bawah 23 tahun negara itu buka ruang kepada Suhaimi untuk diturunkan dalam dua perlawanan terakhir.
“Bagi saya persaingan merebut tempat dalam kesebelasan utama sesuatu yang lumrah dan tiada istilah berada dalam zon yang selesa.”
“Kualiti antara kami seperti saya dan Rahadiazli tidak jauh beza yang menjadikan mana-mana penjaga gol perlu bekerja keras dalam sesi latihan.”
“Jika saya diberi peluang sekali lagi berdepan Kedah, sudah pasti saya akan terus berikan apa yang termampu demi memastikan kejayaan Terengganu,” tambah Suhaimi Husin lagi.
Selain aksi Terengganu dan Kedah, satu lagi perlawanan yang dijangka menarik ialah membabitkan dua pasukan teratas Liga Super, Sabah FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Likas.