Bekas pegawai fisioterapi pasukan Melaka United mendedahkan beliau dan para pemain sehingga saat ini masih belum menerima tunggakan gaji dari bekas majikan mereka.

Seorang individu yang bernama Husni memberitahu kepada Vocket FC beliau merupakan ahli fisioterapi bagi skuad Piala Presiden musim lepas dan belum menerima tunggakan gaji sebanyak tiga bulan.

Tambah Husni, para pemain skuad Piala Presiden pula masih mempunyai baki tunggakan gaji selama enam bulan dan sehingga saat ini tiada sinar mengenai hak mereka.

Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) sebelum ini telah mengadakan satu perbicaraan National Dispute Resolution Chamber (NDRC) atau turut dikenali sebagai Majlis Resolusi Pertikaian Kebangsaan kali kedua yang diadakan di Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya pada 7 April lalu.

“Sesi perbicaraan pada kali ini memperdengarkan kes tunggakan gaji bagi musim lepas bagi 18 orang pemain Melaka United FC dan 16 orang pemain Sarawak United FC.

“Perbicaraan NDRC kali ini amat penting dalam menentukan hala tuju penguatkuasaan keputusan yang dikeluarkan oleh NDRC untuk dihormati oleh pasukan. Keputusan dijangkakan akan dikeluarkan oleh NDRC dalam tempoh yang terdekat.

“PFAM sangat komited dalam memperjuangkan dan membantu komuniti pemain bola sepak profesional secara keseluruhan dari segi kebajikan serta pembangunan pemain dan diharapkan dengan penubuhan NDRC di Malaysia, hak pemain akan terus terbela,” dipetik dari kenyataan yang dikeluarkan oleh PFAM.