Penyokong setia bola sepak Perak pasti pernah mendengar nama Alysson Marandez Marins yang merupakan pemain import penyerang kelahiran Brazil.

Artikel Berkaitan:

Marins menyertai Perak pada awal musim 2005 sewaktu pasukan tersebut dibimbing oleh mendiang Antonio Gonzaga Netto.

Marins yang diperkenalkan oleh legenda bola sepak Brazil, Zico kepada Perak bagaimanapun gagal untuk memberikan sumbangan berkesan buat pasukan tersebut.

Hanya beraksi satu perlawanan iaitu ketika bertemu Pulau Pinang di Stadium Perak, beliau akhirnya mengucapkan selamat tinggal kerana kecederaan dialaminya.

Sekiranya 18 tahun lalu namanya disebut sebagai pemain import yang gagal di Liga Malaysia tetapi kini mungkin ada segelintir penyokong Perak berbangga dengannya.

Hal ini kerana beliau dilaporkan telah memegang jawatan sebagai pencari bakat bagi kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea bermula 18 Julai lalu.

  • Alysson ketika menyarung jersi Perak. Kredit Foto: Instagram Alysson Marins & Yob4ever

Perkembangan tersebut disahkan Alysson Marins menerusi laman Instagram peribadinya.

Melihatkan kepada jawatan baharunya itu, tidak hairanlah melihatkan kepada kecenderungan Chelsea untuk merekrut pemain-pemain muda khususnya dari Amerika Selatan.

Ia jelas dibuktikan dengan kehadiran pemain seperti Angelo dan Deivid Washington (Brazil) serta pemain muda Ecuador, Kendry Paez.

Malah, yang terbaharu Chelsea turut dilaporkan berminat untuk membawa masuk pemain muda Corinthians, Gabriel Moscardo.

Marins jelas mempunyai kepakaran dalam mengenal pasti bakat muda di Amerika Selatan kerana beliau sebelum ini bertindak selaku ketua pencari bakat Corinthians selama 10 tahun.