Bekas presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu kepanasan mendengar kenyataan Dani Alves yang menyatakan bahawa dia (Alves) tak pernah terfikir untuk kembali ke Barca jika Bartomeu masih menjadi presiden.
Alves menegaskan bahawa: “Saya tak akan menerima tawaran daripada Bartomeu sama sekali.”
Dani Alves juga menyatakan bahawa dia meninggalkan Barcelona pada 2016 kerana Bartomeu menjadi presiden. Dani Alves menepis dakwaan bahawa dia meninggalkan Barcelona kerana mendapat tawaran lebih besar daripada Paris St Germain.
Sebaliknya dia disingkirkan kerana seringkali tidak sependapat dengan Bartomeu.
“Saya tak akan terima tawaran daripada dia sama sekali. Saya pergi meninggalkan kelab ini ketika dia menjadi presiden, dan tidak ada gunanya nak bekerjasama semula dengannya.”
Alves juga menganggap pemergian Lionel Messi adalah sesuatu yang sukar diterima. Kerana Messi adalah ikon Barca, dan Alves sentiasa berhasrat untuk bermain semula bersama Messi di Barca.
“Pemergian Messi sangat sukar diterima. Kelab ini sedang dilanda krisis dan kesulitan untuk mengekalkannya.”
“Saya menentang pemergian Messi kerana dia legenda hidup Barcelona. Malangnya, apa yang berlaku tidak seperti yang kami rancang, namun saya berharap di akan kembali semula suatu hari nanti dan kami akan dapat bermain bersama semula.”
Alves menyatakan perkara itu sebagai tanda kepercayaannya kepada Laporta. Kerana ketika ini sudah ada segelintir peminat Barca yang mulai sangsi dengan Laporta terutama sekali selepas Laporta memungkiri janjinya ketika menjadi calon presiden.
Ketika itu, Laporta memberikan jaminan Messi akan terus kekal 100% jika dia dipilih menjadi presiden. Sedangkan beberapa calon lain tidak menjanjikan perkara tersebut.
Lantas Dani Alves meminta peminat Barcelona cuba memahami situasi Laporta ketika itu.
Alves turut menyatakan bahawa nalurinya kuat menyatakan bahawa dia akan kembali semula menyarung jersi Barca. Dan itu benar benar berlaku.
“Naluri saya menyatakan bahawa saya akan kembali semula ke Barca. Walaupun ramai orang anggap ianya pelik namun, saya kembali,” tegas Alves lagi.
“Kita harus bekerjasama untuk membina semula Barcelona yang agung, dan untuk melakukannya, kita perlukan stabiliti dan solidariti.”
“Laporta akan membina semula kelab ini. Dengan kepulangan semula Laporta, kestabilan itu akan kembali juga bersamanya. Kami semua gembira melihat dia kembali ke pangkuan kelab semula.”
Tindakan Alves yang terlalu memuji Laporta dan menyindir Bartomeu itu membuatkan Bartomeu tidak selesa.
Lalu dia memuat naik perbualan WhatsApp mereka, di mana Alves dilihat merayu meminta Bartomeu menjadi kabel untuk dia kembali semula ke Barca. Ini kerana Dani Alves ketika itu tiada dalam senarai dikehendaki pengurus.
Bartomeu menyerahkan sepenuhnya rekrut pemain kepada pengurus dan juga Eric Abidal yang merupakan pengarah sukan.
Bartomeu tidak keberatan menerima Alves dengan syarat Abidal dan staf teknikal mahukannya.
Dalam perbualan itu:
Alves: “Tuan presiden, apa khabar? Saya nak kembali semula ke rumah saya [Barcelona] dan bermain Piala Dunia 2022 sebagai pemain Barca. Kita buang ego, kita saling memerlukan.”
Bartomeu berkata: “Hey Dani, tiada masalah, namun mesti atas persetujuan daripada staf teknikal. Kamu sudah bercakap dengan [Eric] Abidal? Big hug. Barto.”
Alves: “Baiklah, saya akan bercakap dengan dia seperti yang kamu mahukan.”
Namun selepas itu, Alves tetap tidak mendapat tawaran daripada Barcelona. Mungkin kerana staf teknikal dan pengurus pasukan tidak memerlukan khidmatnya.
Perkongsian Bartomeu itu membuatkan Alves menjadi mangsa kecaman sebagai talam dua muka.
Dengan segera Dani Alves menjelaskan: “Kepada mereka yang benar benar sayangkan Barca, kita akan lakukan apa sahaja demi kelab. Kita tahu apa yang setiap orang layak dapat. Maaf… terima kasih.”
https://twitter.com/DaniAlvesD2/status/1476852163859161088