Bintang bola sepak dunia, Lionel Messi dilihat semakin hampir untuk berpisah dengan Barcelona selepas kelab itu gagal untuk memeterai kontrak baharu buat pemenang enam kali Ballon d’Or tersebut.
Bergelar ejen bebas pada 1 Julai lalu, Messi dan Barcelona sebelum ini difahamkan bakal memeterai kontrak baharu selama lima tahun yang menyaksikan gajinya akan berkurangan sebanyak 50 peratus.
Bagaimanapun, perkara tersebut tidak dapat direalisasikan disebabkan peraturan Liga Sepanyol (La Liga) yang sudah pastinya melibatkan faktor kewangan.
Thank you, Leo. pic.twitter.com/cdS9xWe8Me
— FC Barcelona (@FCBarcelona) August 5, 2021
Perkara tersebut diumumkan oleh Barcelona dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di laman sesawang serta media sosial rasmi kelab pemenang lima kali Liga Juara-Juara Eropah (UCL) itu.
“Meskipun FC Barcelona dan Lionel Messi telah mencapai kesepakatan dan niat jelas kedua-dua pihak untuk menandatangani kontrak baharu pada hari ini, ia tidak terjadi kerana halangan kewangan dan struktur (peraturan La Liga Sepanyol).”
“Kerana keadaan ini, Messi tidak akan terus berada di FC Barcelona. Kedua-dua pihak amat kesal kerana keinginan pemain dan kelab tidak dapat dipenuhi.”
OFFICIAL. Lionel Messi will not continue at Barcelona. 🚨 #FCB #Messi
— Fabrizio Romano (@FabrizioRomano) August 5, 2021
“FC Barcelona dengan sepenuh hati mengucapkan terima kasih kepada pemain itu [Lionel Messi] atas sumbangannya terhadap peningkatan kelab dan mengucapkan yang terbaik untuknya di masa hadapan dalam kehidupan peribadi dan profesionalnya.”
Lebih 20 tahun ‘menghambakan’ diri bersama Barcelona, Messi telah menjaringkan 672 gol pada 778 penampilannya dalam semua pertandingan yang disertai.
Sudah pasti ia merupakan satu kehilangan besar buat Barcelona tetapi mungkin ada sisi baik di sebalik kehilangan legenda hidup ini buat The Blaugrana terutamanya dari aspek kewangan?