Kelab gergasi Sepanyol, Barcelona sedia pertimbangkan untuk beraksi di Asia jika Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) bertindak menggantung mereka daripada bertanding dalam saingan UEFA Champions League (UCL).

Menurut laporan daripada dailymail, pertandingan di Asia yang menjadi pilihan kelab itu ialah AFC Champions League (ACL) sekiranya skuad kendalian Xavi itu tidak dibenarkan lagi menyertai UCL.

Antara sebab Barcelona berdepan hukuman penggantungan daripada UEFA ialah pasukan itu didakwa membuat bayaran kepada bekas presiden jawatankuasa pengadil Sepanyol antara 2001 dan 2018.

Dianggarkan sebanyak RM36.2 juta dibayar oleh Barcelona kepada DASNIL dan NILSAT iaitu dua syarikat milik Jose Maria Enriquez Negreira.

Pendakwa raya awam Sepanyol telah memfailkan aduan ke atas kelab gergasi Catalan itu. Dua bekas presiden kelab iaitu Sandro Rossell dan Jose Maria Bartomeu turut didakwa.

Kelab dituduh membayar sekitar €7.3 juta di antara 2001 sehingga 2018. Mereka membayar wang itu kepada firma milik Enriquez Negreira, yang ketika itu memegang jawatan dalam jawatankuasa FA Sepanyol daripada 1993 sehingga 2018.

Pendakwa raya mendakwa bahawa ada perjanjian rahsia melibatkan wang agar Negreira membantu Barcelona mendapatkan kelebihan daripada pengadil ketika bermain, serta mendapat kelebihan dari segi keputusan dalam pertandingan.

Ketika ini, UEFA memberi jaminan bahawa Barcelona akan dibenarkan bertanding pada musim depan di mana bakal juara La Liga itu hampir pasti layak ke saingan itu.

Namun menurut program televisyen Catalan, Onze menerusi Sport, kelab terbabit sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan dan menjalankan kajian untuk mencari liga baharu di Asia jika dihalang daripada beraksi di Eropah.

Presiden kelab, Joan Laporta bagaimanapun terus berusaha keras bagi memastikan Barcelona terus mendapat akses kepada pertandingan paling berprestij Eropah itu.

Minggu lalu, Laporta sudah bertemu dengan Presiden UEFA, Aleksandr Ceferin untuk menjelaskan situasi antara dua organisasi itu.

Barcelona sebelum ini menafikan tuduhan ke atas mereka. Dan menyatakan bahawa mereka hanya membayar pengadil untuk mendapatkan data tertentu bagi tujuan analisis.

Barcelona menegaskan data itu akan digunakan untuk memberitahu pemain tentang corak pengadilan seseorang pengadil dan bagaimana pemain boleh bertindak berdasarkan pengadil berbeza.