Barcelona dilaporkan cuba memujuk Ronald Koeman untuk menerima pengurangan pampasan daripada pemecatan beliau.

Koeman dipecat selepas kekalahan di tangan Rayo Vallecano dan beberapa siri keputusan mengejutkan sebelum ini.

Barca terus mengumumkan pemecatan Koeman hanya beberapa jam daripada kekalahan di tangan Rayo.

Sebelum ini Koeman yakin bahawa beliau akan terus kekal kerana Barca memberikannya sokongan. Laporta turut mengesahkan bahawa, memecat pengurus bukan perkara yang mereka pertimbangkan kerana mereka perlu membayar pampasan Koeman.

Berapa pampasan Koeman?

Rupa rupanya pampasan Koeman sangat tinggi iaitu sekitar €12 juta jika Barca memecatnya sebelum kontrak berakhir.

Koresponden Sport.es, Lluis Canut yang rapat dengan Koeman menegaskan, selepas Barcelona memecat Koeman, Laporta terus menghubungi Koeman merayu meminta pengurus itu menerima pemotongan pampasan.

Malah Laporta juga menjual kisah sedih yang tidak dilayan Koeman. Di mana Laporta mahu Koeman melihat situasi ekonomi kelab yang sedang tenat.

Barcelona sepatutnya perlu membayar €12 juta kepada Ronald Koeman kerana memecat beliau, namun mereka kini tampil berunding untuk meminta Koeman menerima pengurangan nilai pampasan atas persetujuan bersama.

Barca mahu Koeman simpati dengan situasi ekonomi kelab

Barca juga menegaskan kepada Koeman, mereka sebelum ini sudah membayar €5 juta kepada KNVB untuk menebus kontrak pengurus itu daripada pasukan kebangsaaan Belanda.

Canut berkata: “Koeman sekarang tidak mahu menerima pengurangan pampasan dan mahu menuntut setiap sesen duitnya yang masih tinggal di sana.”

“Semuanya €12 juta. Mereka mahu meminta pengurangan €5 juta. Dan angka ini tidak termasuk pampasan kepada Belanda sebelum ini kerana masa itu, Barca terus bayar €5 juta kepada KNVB.”

Kemudian Barca menyatakan Koeman sepatutnya mempertimbangkan pengurangan pampasan kerana sudah setuju dengan pengurangan gaji 45% di kelab itu sebelum ini.

Ini kerana Barca merasakan baki kontrak harus juga dikira berdasarkan jumlah gaji yang dikurangkan. Koeman ternyata tidak dapat menerima alasan Barca itu. Ini kerana pemecatan adalah perkara yang berbeza dengan kesanggupan Koeman menerima pengurangan gaji.

Lebih teruk, Canut tidak pasti sama adan €12 juta ini sudah termasuk pampasan kepada semua staf kejurulatihan Koeman yang turut dipect sama.

Canut menambah: “Dalam perbualan pertama mereka [Koeman dan Ferran Reverter – CEO Barca], mereka ada bertanya kepada dia untuk terima pemotongan dan membayar hanya 7 ke 8 juta, jauh dari nilai 12 yang sepatutnya mereka bayar.”

“Ia merupakan kontrak yang sudah ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak, namun pimpinan kelab pada ketika ini tidak tahu tentang isi kontrak tersebut, ini bukan soal balas dendam tapi ia memang perlu dibayar.”

Barcelona sebelum ini pernah berbalah isu pampasan kontrak dengan Neymar. Yang akhirnya menyaksikan kedua duanya setuju menyelesaikan kes itu di luar mahkamah dan berjanji tidak akan menyaman antara satu sama lain.