Skuad Harimau Malaya mengalami kekalahan pertama dalam peringkat kumpulan kejohanan AFF Suzuki 2018 ditangan Vietnam 0-2 semalam di Hanoi.
Kekalahan dalam perlawanan ke 3 ini juga menjadikan Malaysia hanya akan mampu mengutip 9 mata maksimum sekiranya menang dalam perlawanan terakhir kumpulan A bertemu pasukan Myanmar pada 24 November nanti.
Manakala bagi pasukan Myanmar pula, mereka masih lagi berbaki 2 perlawanan bertemu Vietnam (20 November) dan Malaysia (24 November) – memungkinkan mereka untuk mengutip 12 mata maksimum jika menang semua baki perlawanan.
Dalam kedudukan kumpulan A sekarang, 3 pasukan terikat dengan 6 mata – Vietnam, Myanmar dan Malaysia. Skuad negara berada ditempat ke 3 disebab jumlah perbezaan gol yang kecil berbanding 2 pasukan tersebut. Apa akan berlaku jika Vietnam, Myanmar dan Malaysia terikat dengan 9 mata apabila tamat semua perlawanan?
Bagaimana Menentukan Ranking Pasukan Dalam Kumpulan
Menurut buku peraturan kejohanan AFF Suzuki Cup 2018 yang dikeluarkan, penentuan ranking pasukan dalam kumpulan akan dibuat seperti berikut;
- Jumlah mata paling tinggi yang diperolehi dalam semua perlawanan peringkat kumpulan
- Jumlah perbezaan gol paling tinggi dalam semua perlawanan peringkat kumpulan
- Jumlah jaringan gol paling tinggi dalam semua perlawanan peringkat kumpulan.
Sekiranya ada 2 atau lebih pasukan yang masih terikat selepas 3 perkara diatas, ranking dalam kumpulan akan ditentukan seperti berikut;
- Keputusan perlawanan diantara pasukan yang terikat.
- Sepakan penalti, sekiranya pasukan-pasukan terlibat masih beraksi didalam padang.
- Mata ‘Fair-Play’ paling rendah
- ‘Drawing lots’ oleh Jawatankuasa Penganjur AFF Suzuki Cup 2018.
Ada Kemungkinan Malaysia Terikat 9 Mata Dengan Vietnam dan Myanmar?
Ya. Kemungkinan itu akan menjadi kenyataan sekiranya Myanmar menewaskan Vietnam dalam perlawanan ke 3 mereka 20 November nanti. Berikut adalah beberapa senario yang mampu menyingkir skuad Harimau Malaya dari kejohanan AFF Suzuki Cup 2018.
Senario 1:
Jika Myanmar menewaskan Vietnam, mereka akan mengutip 9 mata dan Vietnam akan bertemu Kemboja dalam perlawanan terakhir – nyata kelebihan kepada Vietnam untuk menang dan memiliki 9 mata.
Malaysia perlu menang bertemu Myanmar untuk memiliki maksimum 9 mata, tetapi Myanmar dan Vietnam mempunyai kelebihan perbezaan gol – 5 gol, berbanding Malaysia ketika ini hanya 1 gol. Menang dengan jumlah gol yang besar adalah pilihan yang ada.
Senario 2:
Sekiranya Vietnam menewaskan Myanmar, mereka akan sah layak ke separuh akhir. Myanmar pula terikat dengan Malaysia dengan 6 mata, tetapi mempunyai kelebihan perbezaan gol.
Dalam situasi ini, menang dengan jaringan yang besar (bergantung kepada keputusan Myanmar vs Vietnam) adalah pilihan yang ada. Jika Vietnam menewaskan Myanmar 4-0, perbezaan gol diantara Malaysia dan Myanmar adalah sama, tetapi kelebihan tetap kepada Myanmar yang mempunyai jumlah jaringan yang lebih besar.
Senario 3:
Keputusan seri diantara Vietnam dan Myanmar menjadikan mereka memiliki 7 mata berbanding Malaysia 6 mata.
Sekiranya Malaysia juga seri bertemu Myanmar, kita akan terkeluar dari saingan AFF Suzuki Cup 2018.
Nota: Semua senario diatas adalah dengan andaian Vietnam akan menang bertemu Kemboja, berdasarkan prestasi semasa. Namun, dalam bola sepak apa sahaja boleh terjadi sepanjang 90 minit.