Sabah FC hari ini mengejutkan para penyokongnya apabila mengumumkan tonggak tengah mereka, Baddrol Bakhtiar akan meninggalkan peranannya sebagai Ketua Pasukan dan tidak lagi bersama pasukan sepanjang baki saingan Liga Malaysia musim ini.

Menurut kenyataan rasmi kelab, keputusan tersebut dibuat melalui persetujuan bersama atas sebab yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Beliau akan sentiasa menjadi legenda di Sabah FC. Segala komitmen, dedikasi, semangat dan motivasi yang diberikan sepanjang bermain bersama Sabah FC dan seterusnya menerajui Sabah ke AFC Cup 2023 akan sentiasa dikenang.

“Dengan keseluruhan 41 penampilan dan 13 gol, tempatnya dalam sejarah kelab akan sentiasa terjamin. Nama Baddrol Bakhtiar juga akan terpahat sebagai lagenda di Arena Bolasepak Malaysia,” kata kenyataan rasmi.

Sabah merupakan fasa baharu dalam karier Baddrol dimana ia juga merupakan pertama kali beliau meninggalkan Kedah sekaligus menemukannya kembali dengan bekas pengendali skuad bawah 23 tahun negara yang menjuarai Sukan SEA 2011, Datuk Ong Kim Swee.

Khabar angin bertiup kencang di media sosial mengatakan pemain yang berusia 35 tahun itu akan menceburi bidang politik dan bakal bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.

Baddrol dijangka pulang ke Kedah kerana negeri itu merupakan salah sebuah daripada enam negeri yang terlibat dalam pilihan raya kali ini dengan hari penamaan calon bakal diadakan pada 29 Julai.

Difahamkan Baddrol bakal diumumkan sebagai calon daripada Parti Perikatan Nasional.

Sepanjang dalam karier bola sepak, Baddrol telah memenangi kesemua trofi yang dipertandinkan dalam kancah Liga Malaysia apabila beliau mengecap nikmat sebanyak dua kali dalam menjulang Liga Super [2006/07 dan 2007/08].

Apatah lagi beliau juga merupakan antara tonggak Kedah ketika memenangi kejuaraan ‘double treble’ ketika dibawah kendalian Mohd Azraai Khor Bin Abdullah.