Bekas jurulatih Harimau Muda A, Mohd Azraai Khor Abdullah menafikan kononnya tiada sebarang perubahan positif dalam Liga Malaysia sejak Malaysian Football League (MFL) dilantik menjadi pengendali liga tempatan.
Sebaliknya Azraai yang kini bertugas sebagai jurulatih skuad Piala Presiden Kedah, mendedahkan MFL telah berjaya mengangkat Liga Malaysia ke arah berdaya saing selaras peredaran zaman bola sepak moden.
Jelas lagi jurulatih yang bakal berusia 67 tahun itu pada Oktober depan, menegaskan pasukan-pasukan tempatan meraih hak penyiaran antara kejayaan besar MFL dalam mengangkat imej baik Liga Malaysia.
Lebih tepat, Azraai memberitahu kejayaan MFL itu telah merealisasi impian tokoh bola sepak negara yang juga merupakan bekas pengurus pasukan Kedah, Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil yang sebelum ini menuntut hak penyiaran kepada pasukan-pasukan tempatan.
“Dalam kebanyakan organisasi di dunia, (perbandingan) kebaikan dan kelemahan adalah satu perkara tidak dapat dielakkan. Ia adalah lumrah semula jadi apabila ada seseorang cuba memberikan perbandingan.
“Namun jika ada seseorang mengatakan tiada langsung perubahan bagus kepada Liga Malaysia selepas MFL mengambil alih, saya memberikan nada sebaliknya kerana saya melihat banyak kebaikan yang telah berlaku.
“Antara kebaikan atau perkembangan positif itu adalah insentif hak penyiaran telah diberikan kepada pasukan bertanding. Saya masih ingat lagi Allahyarham Datuk Ahmad Basri sentiasa menuntut hak penyiaran pasukan ketika berada dalam sistem bola sepak negara.
“Jadi saya fikir MFL telah menunaikan impian atau hajat tokoh bola sepak negara kita dan meletakkan liga kita berada di landasan yang lebih positif saban tahun,” katanya yang membawa Kedah muncul juara treble pada 2006-2007 dan 2007-2008.
Terdahulu, Naib Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), Dr. Zulakbal Abd. Karim berkata dalam satu kenyataan memberitahu reputasi MFL dalam menguruskan Liga Malaysia diragui walaupun sudah empat tahun mentadbir liga tempatan.
Dalam perkembangan sama, Azraai berharap semua pihak saling bekerjasama menbantu MFL mengatasi sebarang kelemahan dalam usaha menjadikan Liga Malaysia lebih dikenali dan mendapat nama di pentas antarabangsa.
“Masih ada kelemahan-kelemahan yang perlu diperbaiki. Cuma nasihat saya MFL harus lebih tegas dan konsisten dalam setiap kali melakukan keputusan atau sebagainya.
“Ini kerana MFL sebagai pentadbir liga bola sepak negara harus memiliki pendirian dan mereka tidak perlu takut kerana matlamat MFL mahu memberikan kualiti lagi kepada Liga Malaysia,” ujarnya.