Bekas ketua jurulatih Kedah Darul Aman, Azraai Khor Abdullah menggesa bekas pasukannya untuk berjumpa dengan wakil penyokong dan menceritakan keadaan sebenar yang sedang berlaku dalam kelab ketika ini.
Meskipun skuad bimbingan Aidil Sharin itu berjaya mara ke peringkat separuh akhir Zon Asean saingan Piala AFC, namun Kedah tidak berada dalam prestasi terbaik dalam saingan liga domestik.
Mereka hanya mampu mengutip satu kemenangan dalam empat perlawanan liga terakhir selain tersingkir dari saingan Piala FA dimana mereka tewas kepada Terengganu pada pusingan kedua.
Menurut Azraai, pengurusan pasukan sepatutnya berkongsi dengan penyokong tentang apa yang sedang berlaku dalam pasukan ketika ini.
“Saya cadangkan jumpalah wakil-wakil penyokong kita. Kongsi dengan mereka apa sebenarnya yang berlaku. Arwah Datuk Paduka Ahmad Basri Akil pernah berkata tiada rahsia antara pasukan dan penyokong kita. Pasukan tiada makna tanpa penyokong. Tiada apa yang perlu disembunyikan. Berani kerana benar,” kata Azraai Khor dipetik dari laman media sosial Facebook miliknya.
Sebelum ini, Azraai mengeluarkan kenyataan pengurusan pasukan seolah-olah merahsiakan perkara yang berlaku dan beliau kemudiannya mendapat panggilan daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan, Khamal Idris Ali.
Akan tetapi, jurulatih berusia 69 tahun itu tidak berkongsi perbualan beliau dengan Khamal secara terperinci kepada peminat.
Kedah akan turun menentang kelab Indonesia, PSM Makassar pada aksi separuh akhir Zon Asean Piala AFC pada 9 Ogos ini dan kemenangan akan meredekan sedikit tekanan yang sedang dihadapi oleh pasukan ketika ini.
Satu lagi wakil negara, Kuala Lumpur City pula akan berkunjung ke Hanoi, Vietnam bagi menghadapi Viettel.
Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:
Gol Jarak Jauh Sean Selvaraj Tarik Perhatian Media Antarabangsa
Pengadil Tempatan Tidak Dibenarkan ‘Bercakap’ Kepada Media Tanpa Kebenaran FAM