Hasrat untuk melihat skuad sepak takraw Malaysia melakukan kejutan ke atas Thailand dalam acara regu Sukan Asia (Asian Games) 2022 tidak kesampaian selepas mereka tumpas di perlawanan akhir, sebentar tadi.

Kekalahan itu turut gagal mengulangi pencapaian muncul pemenang pingat emas pada edisi 2018 di Palembang, Indonesia yang menyaksikan pada ketika itu Thailand tidak bertanding.

Beraksi di Jinhua Sports Centre, Ahmad Jais Baharun meletakkan Zarif Marican Ibrahim Marican (tekong), Mohamad Azlan Alias (perejam) dan Amirul Zazwan Amir selaku pengumpan.

Lawan mereka nyata bukanlah calang-calang trio kerana Thailad yang dikemudi Kamol Tankimhong membariskan Sittipong Khamchan (tekong), Pichet Pansa (perejam) serta Pattarapong Yupadee (pengumpan).

Meskipun berdepan lawan yang mempunyai reputasi cukup gah dalam pentas sepak takraw dunia, gandingan Malaysia tidak menunjukkan kegentaran untuk berhadapan Thailand.

Tidak seperti aksi final acara berkumpulan, trio Malaysia berjaya menyerap tekanan pada awal set pertama apabila berjaya mengikat lawan 11-11.

Namun, kecemerlangan itu gagal diteruskan walaupun Jais memasukkan Mohammad Syahir Rosdi hingga membolehkan Thailand menang 21-15.

Memasuki set kedua, semangat juang tinggi jelas diperagakan oleh pemain negara dan nyata membuatkan Thailand berada dalam keadaan tertekan terutamanya situasi genting pada mata-mata terakhir.

Malah, mata kemenangan yang diraih Thailand juga menimbulkan kontroversi kerana kem negara menyatakan bola rejaman Pichet keluar tetapi penjaga garisan memberikan keputusan sebaliknya.

Oleh kerana skuad Malaysia sudah ketiadaan ‘challenge’, maka keputusan penjaga garisan itu kekal untuk menghadiahkan kemenangan 21-19 serta emas kedua buat skuad lelaki Thailand.