Ketua jurulatih skuad hoki negara, Arul Anthoni Selvaraj melihat beberapa aspek yang perlu diperbaiki anak buahnya menjelang aksi kedua Piala Dunia Hoki 2023 bertemu Chile, esok.

Baca Juga:

Skuad negara mempamerkan disiplin tinggi ketika bertahan terutamanya pada suku pertama dan ketiga pada pertemuan dengan Belanda semalam tetapi lawan yang merupakan pasukan ranking ketiga dunia itu jelas sukar digugat Marhan Jalil dan rakan-rakan untuk menang 4-0.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa empat gol yang dihasilkan Belanda berpunca daripada kealpaan serta kesilapan mudah barisan pertahanan dalam menghadapi serangan bertali-arus lawan.

Sehubungan dengan itu, Arul turut menekankan aspek bertahan menjadi elemen penting untuk diperbaiki anak buahnya.

“Secara keseluruhan walaupun kita tewas 4-0, kita bermain dengan salah satu gergasi hoki dunia,” ujar Arul menurut kenyataannya dikeluarkan Konfederasi Hoki Malaysia.

“Tetapi, walaubagaimanapun para pemain kita berjaya menggunakan cara untuk kita membina kesedaran taktikal kita, sudah tentu kita kena memperbaiki dengan lebih lagi.”

“Kita juga mendapat tiga pukulan sudut penalti tetapi kita tidak dapat menggunakan kesempatan tersebut dengan baik.”

“Apa yang kita perlu perbaiki daripada perlawanan ini adalah aspek bertahan ketika situasi satu lawan satu terutamanya dalam kawasan D daripada segi mengawal ketat lawan (marking) dan kedudukan badan rendah.”

“Sedikit sebanyak penambahbaikan yang diperlukan adalah kesedaran individu dimana setiap individu itu perlu memperbaiki kesilapan ketika melakukan tekanan kepada pemain lawan dan kurangnya sokongan terhadap pemain yang membawa bola.”