Ketua jurulatih skuad hoki negara, Arul Selvaraj berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan anak buahnya meskipun tumpas 2-3 pada perlawanan persahabatan bertemu Sepanyol di India, semalam.
Baca Juga:
- Piala Dunia Hoki: S. Kumar Tak Mahu Pemain Lemah Semangat Untuk Hadapi Belanda
- JDT Lancar Kelab Hoki Ais Bertanding Dalam Liga Domestik
- Gelembung Sukan: Ini Perkara Yang Perlu Kita Faham Dalam Konteks Bola Sepak Tempatan
Perlawanan yang diadakan dalam tiga suku perlawanan itu menyaksikan dua gol skuad negara disumbangkan Muhammad Aminuddin Mohd Zain menerusi situasi pukulan sudut penalti dan jaringan padang oleh Norsyafiq Sumantri.
Di sebalik kekalahan tersebut, Arul melihat beberapa aspek yang membuatkan beliau gembira dengan aksi anak buahnya ketika berdepan pasukan ranking kelapan dunia itu.
“Satu keputusan yang bagus dan memuaskan daripada segi pendekatan taktikal untuk perlawanan ini walaupun kita bermain dengan pasukan Sepanyol dalam tiga ‘quarter’.”
“Tetapi kita gunakan tiga suku perlawanan itu seperti kita akan bermain dengan Belanda dan Chile. Suku pertama, kedua dan ketiga kita bermain seperti kita ingin bermain dengan Belanda,” ujar Arul menurut kenyataannya yang dikeluarkan Konfederasi Hoki Malaysia.
“Keputusan 3-2 memuaskan daripada segi disiplin taktikal para pemain. Tiga elemen yang saya perlu tekankan sebelum bermain dengan Belanda adalah kepantasan bola, pergerakan bola pasukan kita.”
“Dua lagi adalah kita perlu mengawasi pasukan lawan dengan lebih ketat di bahagian pertahanan dan lebih agresif tetapi dengan tenang.”
“Di bahagian serangan pula kita mesti menggunakan peluang dengan lebih baik untuk mendapatkan pukulan sudut penalti dan membawa bola ke arah penjaga gol.”
Melihatkan kepada aksi ditampilkan anak buahnya pada aksi persahabatan tersebut, Arul mahu anak buahnya mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan sulung Piala Dunia Hoki 2023 bertemu Belanda, Sabtu nanti.
“Harapan untuk perlawanan pembukaan berdepan Belanda adalah untuk kita keluar bermain dengan taktikal disiplin yang tinggi bagi mencapai kejayaan dariapada segi persembahan kita.”
“Kerana amat penting untuk kita mempamerkan persembahan yang baik bagi membawanya ke perlawanan kedua dan ketiga.”
“Jadi, taktikal disiplin dan persembahan di tahap tertinggi amat diperlukan pada perlawanan bertemu Belanda,” tambah Arul Selvaraj lagi.