Frank Lampard kini mencatatkan rekod tidak diingini dengan 6 kekalahan berturut turut sejak kembali.

Arsenal kembali ke puncak liga memintas Manchester City. Kapten Martin Odegaard mencetak 2 gol dalam kemenangan Arsenal ke atas Chelsea 3-1 pada awal pagi Rabu waktu Malaysia.

Skuad bimbingan Mikel Arteta sebelum ini kehilangan kelebihan dalam persaingan kejuaraan selepas tewas 4-1 di tangan Man City, dan mencatatkan keputusan tanpa kemenangan dalam 4 perlawanan terdahulu.

Namun di Emirates, Arsenal berjaya memenangi aksi derbi London yang menjadi kemenangan pertama mereka dalam 5 perlawanan terakhir.

Kemenangan yang membawa Arsenal 2 mata di atas Man City. Dengan skuad Pep Guardiola akan turun selepas ini dalam usaha kembali ke puncak liga.

City wajib menewaskan West Ham di tempat sendiri jika mahu menjadi pendahulu sekali lagi.

Chelsea kini terus bergelut dengan prestasi yang agak kritikal. Frank Lampard ternyata masih tiada formula untuk membentuk pasukan yang lebih baik setakat ini dengan set pemain sarat bintang yang mereka ada.

Chelsea kini menelan 6 kekalahan berturut turut di bawah Frank Lampard, sejak legenda kelab mereka itu pulang semula sebagai interim.

Bekas kapten kontroversi Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang diturunkan sebagai kesebelasan utama buat pertama kali – sejak kekalahan 0-1 di tangan Arsenal pada November lalu.

Aubameyang sekali lagi hambar berdepan dengan bekas pasukannya itu.

Cesar Azpilicueta melakukan satu lagi kesilapan setelah beliau menjaringkan gol sendiri sebelum ini. Di mana hantaran lemahnya dipintas Xhaka yang hampir sahaja menewaskan Kepa Arrizabalaga.

Arsenal menjadi sangat dominan dan kemudian di hadapan pada minit ke-18 menerusi Odegaard dengan satu lencongan yang kemas.

Ben Chilwell hampir menyamakan kedudukan untuk The Blues. Tetapi Aaron Ramsdale melakukan penyelamatan cantik.

Arsenal menambah satu lagi gol pada minit ke-31. Sekali lagi menerusi Martin Odegaard.

3 minit kemudian Arsenal menjadikan kedudukan 3-0. Kali ini menerusi Gabriel Jesus yang merembat masuk daripada jarak dekat.

Chelsea mendapat gol saguhati pada minit ke-65 menerusi Madueke.

Tamat perlawanan Arsenal 3 Chelsea 1.

Frank Lampard mencipta rekod buruk dalam karier pengurusnya. Dengan hanya 1 kemenangan daripada 20 perlawanan yang terakhir.

Bola sepak Eropah sudah mustahil buat Chelsea ketika ini walaupun untuk ke UECL sekalipun.