Malaysia memulakan kempen Kejuaraan AFC Bawah 23 Tahun (B-23) dengan kekalahan 1-4 bertemu Korea Selatan di Stadium Lokomotiv, Tashkent.

Ada 4 aspek taktikal yang kami ingin gariskan. Dan menariknya ada beberapa aspek taktikal Guardiola yang digunakan oleh Korea Selatan dalam perlawanan ini.

1. Korea Selatan guna counterpressing

Pertamanya adalah counterpressing daripada sistem high pressing.

Korea Selatan tidak memerlukan masa untuk menguji padang atau bola pada awal perlawanan. Mereka terus melancarkan serangan demi serangan.

Intensiti ini telah memaksa pemain pemain Malaysia turun ke bawah dan bertahan dalam unit.

Korea Selatan kemudian mengekalkan high pressing mereka sepanjang perlawanan. Menolak seberapa ramai pemain pada kadar segera ke zon serangan.

Malaysia memiliki peluang untuk menyerang balas Korea Selatan pada fasa ini. Namun kebanyakan serangan balas Malaysia berakhir dengan penyudah tak cantik.

Apabila Korea Selatan kehilangan bola, mereka segera menggerakkan counterpressing.

Taktikal ini benar benar menyukarkan Malaysia yang cuba bermain dengan binaan bola rendah. Namun Malaysia tak cukup bagus dari segi ketenangan dan kualiti hantaran pantas di antara pemain untuk melepasi blok counterpressing ini.

Akhirnya opsyen yang ada adalah melambungkan terus bola ke hadapan.

Gol ketiga dan keempat Korea Selatan adalah kerana counterpressing mereka berfungsi baik.

2. Sistem zonal marking Malaysia ketika berdepan setpis

Sistem zonal marking adalah merujuk kepada sistem bertahan di zon. Bukannya fokus kepada man marking.

Sistem yang seringkali digunakan oleh pasukan seperti Liverpool atau Manchester City mahupun Belgium.

Ini antara contoh sistem zonal marking di EPL:

Malaysia jelas sekali bermasalah dengan sistem marking seperti ini.

2 gol pertama Korea Selatan adalah kerana kegagalan sistem ini dilaksanakan dengan baik. Maksudnya, sistem ok, namun perlaksanaannya adalah tidak ok.

Gol pertama, pemain di lapisan zonal marking di depan penjaga gol terpinga pinga tidak pasti apa yang harus mereka lakukan.

Sistem ini banyak sekali memberikan kelebihan kepada Korea Selatan yang tidak meletakkan pemain mereka di depan penjaga gol. Mereka menyerang dari sekitar garisan kotak penalti.

Lihat struktur zonal marking Malaysia di sini. Memang disusun dengan baik. Cuma perlaksanaannya adalah teruk.

Gol kedua Korea Selatan bukannya ancaman terus daripada bola pertama. Tetapi daripada bola kedua. Banyak kali Malaysia bermasalah dengan bola kedua berbanding bola pertama.

3. Taktikal Malaysia tak cukup sinergi

Malaysia sekali lagi tidak cukup sinergi untuk 90 minit.

Di mana pemain pemain Malaysia bermasalah dalam permainan kombinasi.

Kebanyakan aksi terlalu bergantung kepada individu. Pivot tengah Malaysia, Nik Akif dan Mukhairi Ajmal sekali lagi tidak diberikan tugasan khas untuk siapa yang lebih defensif.

Ataupun arahan itu sudah ada cuma tak dilaksanakan?

Ini kerana dalam Sukan SEA yang lalu pivot ini juga sentiasa turun naik bersama sama. Apabila itu berlaku, ianya meninggalkan ruang yang besar di belakang.

Dan dua pemain ini menggunakan tenaga terlalu banyak dan akhirnya keletihan.

Mukhairi Ajmal dilihat lebih baik bermain box to box. Mungkin Brad Maloney harus memikirkan konflik dalam sistem pivot ini.

Seterusnya, barisan serangan Malaysia sekali lagi isolated dan tidak jelas sistem permainan mereka.

Hadi Fayyadh seharusnya menjadi target man. Namun banyak kali dia cuba bermain di wide area. Mungkin untuk membuka ruang kepada Luqman Hakim? Seperti mana sistem yang digunakan Perancis ketika adanya Giroud dan Mbappe pada Piala Dunia 2018.

Di mana Giroud bermain lebih kepada decoy. Dia menarik pertahanan keluar dan menjadi pengeluar / outlet bola kepada Luqman. Tetapi sistem ini gagal berfungsi.

4. Menggerakkan lawan

Ini adalah satu lagi elemen Guardiola yang digunakan Korea Selatan. Iaitu menggerakkan bola untuk menggerakkan lawan.

Mereka membuatkan Malaysia bermain mengikut kehendak mereka. Misalnya dalam keadaan mereka mengggerakkan bola ke kiri dan kanan, secara tak langsung mereka telah ‘study’ struktur pasukan Malaysia.

Pep Guardiola menyatakan, Manchester City bermain hantaran kiri ke kanan bukannya untuk menggerakkan bola tetapi untuk menggerakkan lawan mereka. Itulah ideanya. Mereka mahu tahu sejauh mana keinginan lawan mereka mahu memenangi bola. Dan cuba tarik mereka untuk press.

Kemudian bunuh lawan menggunakan ruang yang satu lagi.

Rumusan

Korea Selatan menang segalanya. Dari segi taktikal, kualiti teknikal dan ketajaman di hadapan gol.

Malaysia harus melupakan kekalahan ini dan fokus kepada perubahan positif menjelang aksi kedua.

Korea Selatan jelas sekali mengkaji lawan mereka dalam perlawanan ini. Mereka seolah olah pernah bermain 3 atau 4 kali menentang Malaysia.

Karakter mereka sangat baik dan membuktikan bahawa mereka masih pasukan kuat di Asia.