Bekas pemain pertahanan Harimau Muda, Amer Saidin dijangka beraksi bersama pasukan baharu dalam saingan Liga Malaysia musim hadapan.
Perkara ini menjadi perbincangan setelah Amer dilihat terlibat dalam satu perlawanan persahabatan pada Sabtu lalu antara Petaling Jaya City FC menentang musuh setempat, Petaling Jaya Rangers dimana pemain berusia 27 tahun itu menyarung jersi PJ City FC.
Amer bukanlah satu nama yang asing dalam arena bola sepak negara dimana selepas program Harimau Muda dibubarkan pada 2015 kerana gagal dalam temasya Sukan SEA, Amer serta merta menyertai Johor Darul Ta’zim.
Namun, Amer jarang beraksi bersama pasukan utama dimana beliau kerap kali diletakkan dalam skuad pembangunan, Johor Darul Ta’zim II yang beraksi dalam saingan Liga Perdana.
Perlawanan persahabatan tersebut berjaya dimenangi oleh skuad bimbingan K.Devan dengan keputusan 7-2. Selain Amer Saidin, PJ City turut menurunkan bekas pemain skuad B-23 tahun negara, Syazwan Zaipol Bahari dan bekas pemain tengah PKNS FC, K.Gurusamy.
Selain ketiga-tiga pemain di atas, bekas pemain sayap Felda United, Christie Jayaseelan turut kelihatan beraksi bersama Petaling Jaya City FC.
Baca artikel lain mengenai pasukan Petaling Jaya City FC di sini:
Safee Sali Kekal Bersama Petaling Jaya City FC Musim Hadapan
PJ City Mahu Kurangkan Pengambilan Pemain Import Dan Mengutamakan Bakat Tempatan Musim Depan