Impian skuad Harimau Malaya untuk mengutip tiga mata penuh ke atas UAE dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 tidak menjadi kenyataan apabila mereka tewas tipis 1-2 dalam perlawanan kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.
Dalam perlawanan ini, pengendali skuad negara, Tan Cheng Hoe mengekalkan kesebelasan yang sama ketika menentang Indonesia khamis lalu kecuali Hadin Azman yang digantikan dengan Mohamadou Sumareh.
Malaysia bermula dengan garang sebaik sahaja pengadil meniup wisel sepak mula. Tidak sampai satu minit, Stadium Nasional Bukit Jalil bergegar dengan sorakan ribuan penyokong apabila penyerang JDT, Syafiq Ahmad berjaya menanduk masuk untuk jaringan pertama negara hasil hantaran cantik daripada Matthew Davies.
Jaringan Syafiq itu telah memberi keyakinan kepada pemain negara untuk terus mengandakan asakan bagi mencari jaringan kedua. Bagaimanapun, ia tidak mematahkan semangat anak buah Lambertus Marwijk untuk terus mencari jaringan penyamaan apabila melakukan beberapa percubaan berbahaya melalui penyerang prolifik mereka, Ali Makhbout.
5 minit kemudian, Syafiq Ahmad hampir menjaringkan gol kedua untuk negara namun rembatannya tersasar. Malaysia turut memperolehi peluang keemasan pada minit 23 tetapi malangnya sepakan Norshahrul Idlan Talaha terlalu lemah.
Usaha UAE mencari jaringan penyamaan akhirnya membuahkan hasil yang lumayan apabila Ali Makhbout menggunakan kelebihan fizikal untuk memenangi perebutan bola di udara lalu menanduk masuk menewaskan Farizal Marlias 3 minit sebelum tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, UAE bermula dengan garang dan kerap memberi ancaman kepada benteng pertahanan negara. Malah, kali ini Adam Nor Azlin dan Shahrul Saad terpaksa bekerja keras untuk mematahkan beberapa gerakan rangkaian serangan UAE.
Ketika skuad negara sedang ghairah melakukan serangan ke kubu UAE, benteng pertahanan Malaysia akhirnya dihukum melalui gerakan solo Ali Mabkhbout yang mudah menewaskan Farizal Marlias sekaligus mengecewakan ribuan penyokong tuan rumah yang hadir.
Baca kisah menarik berkaitan bola sepak Asia dalam artikel dibawah.
Mongolia Cipta Sejarah Baharu, Kejutkan Myanmar Di Kelayakan Piala Dunia 2022
Philippe Troussier Dilantik Sebagai Ketua Jurulatih Skuad Bawah 18 Tahun Vietnam