Ketua jurulatih TRW Kelantan, Alfredo Vera berasa pelik selepas pasukannya dibelasah oleh Kelantan United dengan keputusan 7-0 pada perlawanan suku akhir pertama Piala Cabaran, malam tadi.
Baca Juga:
- RM10 Juta Tak Cukup Beli Pasukan TRW Kelantan
- Adakah RM5 Juta Nilai Yang Wajar Bagi TRW Kelantan?
- Choi Moon-sik Menang Kes FIFA Ke Atas TRW Kelantan
Menurut Vera, para pemainnya tidak beraksi seperti yang dirancang sebelum sepak mula perlawanan, hantaran tidak tepat dan menurut beliau ada juga pemain yang seolah-olah tidak berani untuk beraksi.
“Banyak perkara saya fikir, pemain masih muda, pemain takut, saya tidak tahu apa terjadi kepada mereka, permainan tidak berjalan baik. Perkara ini buat saya bingung, saya tidak boleh beritahu kalian apa yang terjadi, sebab kalau beritahu jadi seperti alasan,” katanya ketika ditemui dalam sidang media selepas perlawanan di Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu.
Meskipun tewas dengan keputusan besar, Alfredo Vera menegaskan beliau tidak pernah menyalahkan pemain dan selalu memberikan motivasi di bilik persalinan agar mereka segera bangkit.
Enam pemain menjaringkan gol bagi Kelantan United dimana Royizzat Daud menjaringkan dua gol diikuti jaringan daripada Dominik Balic, Ismaheel Akinade, Indra Putera Mahayuddin, Faiz Nasir dan S.Sharvin.
Selepas perlawanan, peminat TRW Kelantan meluahkan kemarahan mereka di laman media sosial dengan menggesa agar pemilik pasukan, Norizam Tukiman atau Zamsaham segera membuat perubahan agar pasukan itu tidak terus menjadi pasukan belasahan dalam saingan Liga Malaysia musim ini.
Kelantan ketika ini menduduki tangga ke-13 dalam carta Liga Super dimana mereka hanya mampu mengutip 8 mata selepas mengharungi 21 perlawanan. Hanya Kuching City saja yang mempunyai kutipan mata kurang dari Kelantan iaitu 7 mata dan mereka menduduki tangga tercorot dalam carta liga.