Perpindahan pemain menjelang saingan Liga Malaysia musim hadapan semakin rancak dimana sebuah pasukan gergasi dari Lembah Klang semakin hampir untuk mendapatkan khidmat pemain yang pernah menjadi penjaring terbanyak saingan Liga 1 Indonesia musim 2018, Aleksandar Rakić.

Perkara ini menjadi perbincangan setelah salah seorang individu yang dipercayai ejen kepada Rakic telah berkunjung ke salah sebuah pusat latihan pasukan Selangor dan bertemu dengan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon.

Rakic muncul sebagai penjaring terbanyak Liga 1 Indonesia musim 2018 ketika beliau menyarung jersi PS TIRA-Persikabo. Sepanjang saingan liga, penyerang berusia 32 tahun ini berjaya menjaringkan 21 gol bagi membolehkan beliau mengungguli carta penjaring terbanyak di hadapan penyerang Persebaya, David Da Silva (20) dan penyerang Persija, Marko Simic (18).

Setelah semusim beraksi bersama PS TIRA, Rakic kemudiannya menerima tawaran dari salah satu kelab terkaya di Indonesia iaitu Madura United bagi menghadapi musim 2019. Namun, Rakic gagal mengulangi prestasi cemerlang seperti musim sebelumnya dimana beliau hanya menjaringkan 8 gol setakat ini.

Aleksandar
Sumber Gambar: Vivagoal

Jika Selangor mengambil khidmat Rakic bagi menghadapi saingan musim hadapan, maka mereka perlu melepaskan salah seorang daripada tiga penyerang import yang ketika ini bersama pasukan iaitu Sandro Da Silva, Ifedayo Olesegun dan Rufino Segovia.

Untuk rekod, Rufino muncul sebagai penjaring terbanyak Liga Super musim 2018 dengan 19 gol manakala Ifedayo menduduki tangga kedua di samping penyerang Johor Darul Ta’zim, Diogo Luis Santo dalam carta penjaring terbanyak Liga Super musim ini dengan 12 gol.

Baca artikel lain mengenai Aleksandar Rakić di sini:

Bekas Penjaring Terbanyak Liga 1 Berada Dalam Radar Pasukan Liga Super