Aksi final Piala AFC 2022 yang melibatkan wakil negara, KL City menentang kelab dari Oman, Al Seeb di Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam esok bakal menjadi tumpuan peminat bola sepak tempatan.
Ketua jurulatih Al Seeb, Rasheed Jabar mengakui skuad warga kota bukan lawan yang mudah berdasarkan prestasi mereka mengejutkan kelab Vietnam (Viettel FC) dan seterusnya menewaskan kelab India (ATK Mohun Bagan) serta kelab Uzbekistan (Sogdiana Jizzakh).
Beliau juga berpendapat KL City mempunyai beberapa pemain yang cukup berbahaya dan mampu memberi ancaman kepada pasukannya jika dibiarkan bergerak bebas.
“Kami kali pertama melangkah ke final. Ini perlawanan cukup penting setelah melalui perjalanan yang panjang. Ianya juga perlawanan yang sukar kerana KL City sebuah pasukan bagus dan memiliki ramai pemain berkualiti.
“Mereka ada beberapa pemain yang bagus seperti No. 28 (Paulo Josue), No.9 (Giancarlo Gallifuoco), No. 7 (Romel Morales) dan No. 14 (Akram Mahinan).
“Kami sudah melihat aksi mereka ketika separuh akhir dan final (inter-zon), salah seorang daripada pemain ini mampu mengubah keputusan perlawanan. KL City pasukan yang tersusun tetapi kami juga ada pemain yang boleh melaksanakan tugas mengikut taktikal dirancang,” katanya dalam sidang media.
🔊 𝐀𝐑𝐄. 𝐘𝐎𝐔. 𝐑𝐄𝐀𝐃𝐘!!#AFCCupFinal awaits two tournament's debutants.
Are you 🔴 or 🟡? pic.twitter.com/G7vmTP9dHV
— #AFCCup (@AFCCup) October 21, 2022
Jabar juga turut memberi amaran kepada anak buahnya agar tidak memandang rendah kepada pasukan dari Malaysia walaupun Oman berada di ranking FIFA yang lebih tinggi.
“Anda tidak akan tahu apa yang bakal terjadi dalam perlawanan ini. Mereka pasukan yang cukup tersusun. Oleh itu, kami perlu bersedia semuanya. Kesilapan kecil mampu mengubah keputusan perlawanan.
“Tiada pasukan pilihan di final, semua orang boleh menjuarainya. Ini berkenaan bagaimana anda mampu bersedia dari segi mental dan menghadapi segala kemungkinan,” jelasnya.