Kelab Arab Saudi, Al-Hilal masih belum selesai dalam jendela perpindahan musim panas kali ini dimana mereka mahu mendapatkan khidmat penyerang Fulham, Aleksandar Mitrovic selepas menandatangani Neymar.

Baca Juga:

Perkara ini dikongsikan oleh Fabrizio Romano di laman media sosial beliau dimana Al-Hilal membuat bidaan sebesar £46 Juta atau sekitar RM272 Juta kepada Fulham bagi meyakinkan kelab itu untuk melepaskan Mitrovic.

Sebelum ini, Al-Hilal membuat beberapa bidaan untuk menandatangani pemain kelahiran Serbia itu namun ditolak oleh Fulham dimana kelab itu mahu melepaskan penyerang mereka dengan harga tinggi.

Mitrovic sendiri mahu meninggalkan Fulham dimana pemain itu menjalani sesi latihan bersaingan dengan rakan sepasukan setelah memohon untuk berhijrah ke pasukan lain.

Pengurus Fulham, Marco Silva mahu mengekalkan Aleksandar Mitrovic akan tetapi beliau faham mengenai niat Al-Hilal untuk mendapatkan pemain itu bagi mengukuhkan jentera serangan pasukan.

“Pasaran terbuka dan semua orang sedang mencari penyerang dan mereka mahukan pemain yang terbaik. Jika mereka mahukan yang terbaik maka anda akan lihat Mitrovic. Saya tidak boleh jamin dia akan bersama kami sehingga akhir jendela perpindahan kerana saya tidak dapat mengawal pasaran. Tetapi kami bersedia jika sesuatu berlaku walaupun sesuatu yang saya tidak suka apa yang berlaku,” kata Marco.

Sebelum ini, Al-Hilal berjaya mendapatkan khidmat Neymar yang mana dia akan menerima gaji sekitar €320 Juta untuk dua musim di kelab itu atau sekitar RM1.62 billion tanpa dikenakan sebarang cukai.

Al-Hilal sebelum ini sudah menandatangani pemain bintang dunia yang lain seperti Malcom, Kalidou Koulibaly, Ruben Neves dan Sergej Milinkovic-Savic.

Satu lagi pemain yang semakin hampir untuk menyertai Hilal ialah penjaga gol Piala Dunia Morocco iaitu Yassine Bono.