Penyerng muda Jepun berusia 21 tahun, Daizen Maeda, dilaporkan telah menarik minat kelab FC Barcelona untuk membawa beliau ke kelab tersebut secara pinjaman.
Menurut laporan dari sebuah portal sukan Globo Esporte yang ditulis oleh Marcelo Braga, aksi pemain nombor 9 Jepun yang memiliki kepantasan pergerakan itu telah berjaya memukau beberapa ejen yang menyaksikan perlawanan tersebut.
Statistik Ringkas Aksi Daizen Maeda Dalam Saingan J.League
Daizen Maeda, yang kini memiliki baki kontrak bersama kelab J1 League, Matsumoto Yamaga, telah turun beraksi sebanyak 14 kali musim 2019 ini, kesemuanya sebagai pemain kesebelasan utama dan mencatatkan 1,115 minit masa bermain.
Catatan ini juga membolehkan beliau berada ditempat ke-3 pemain paling banyak masa bermain untuk Matsumoto Yamaga musim ini dibelakang Yuya Hashiuchi (1,273 minit) dan Ryo Takahashi (1,169 minit).
Mengikut data pada musim 2018 pula, Daizen Maeda telah turun beraksi dalam 29 perlawanan J2 League, merekodkan 2,017 minit masa bermain dan menjaringkan 7 gol untuk Matsumoto Yamaga, penjaring ke-2 terbanyak kelab serta membantu Matsumoto Yamaga kembali ke saingan J1 League musim ini.
Pada musim 2017, Daizen Maeda dipinjamkan ke sebuah kelab J2 League, Mito Hollyhock, dan telah turun beraksi dalam 36 perlawanan, mencatatkan 3,003 minit masa bermain serta menjaringkan 13 gol – ketika ini beliau berusia 19 tahun.
Menurut portal itu lagi, sekiranya Daizen Maeda rasmi menyertai FC Barcelona, beliau akan dihantar menyertai skuad FC Barcelona B selain turut menjadi perhatian beberapa pemerhati dari kelab-kelab di Portugal.