Pada aksi petang Isnin di antara Everton dan Tottenham bagi aksi Liga Perdana Inggeris, perlawanan dihentikan seketika pada minit ke-26 oleh pengadil.

Ini untuk memberikan sedikit ruang kepada pemain beragama Islam berbuka puasa di atas padang.

Musim ini adalah musim pertama EPL secara rasmi mewartakan peraturan bahawa pengadil akan menghentikan seketika perlawanan pada waktu berbuka puasa jika ada pemain beragama Islam yang berpuasa dalam perlawanan tersebut.

Komunikasi antara pengadil dan kapten pasukan berlaku sebelum perlawanan.

Trio Everton Andre Onana, Abdoulaye Doucoure, dan Idrissa Gueye semuanya meluangkan sedikit masa untuk mengambil makanan, minuman dan gel tenaga di tepi padang.

Pemain lain juga menggunakan pemberhentian sementara dalam prosiding EPL ini untuk mengambil minuman dan mendengar arahan taktika daripada pengurus mereka di tepi padang. Ianya ibarat turut menjadi sesi warter break buat mereka.

Ramai memuji langkah diambil EPL selepas melihat aksi antara Everton dan Tottenham dihentikan seketika bagi memberikan laluan kepada pemain berbuka puasa.

Menurut mereka, ianya bukti bahawa, pentingnya semangat toleransi. Lagipun ianya bukan mengambil masa yang lama.

Dalam aksi tersebut, Everton dan Spurs terikat 1-1.

Berbeza dengan di Perancis, di mana Ligue 1 melarang sama sekali pengadil menghentikan seketika perlawanan hanya untuk memberikan laluan kepada pemain yang beragama Islam berbuka puasa.

Ini kerana ianya dianggap mengganggu kelancaran permainan. Pegawai perlawanan dan pemain yang ingkar akan dikenakan tindakan tatatertib.

Malah ada kelab yang menggugurkan nama pemain yang memutuskan untuk berpuasa di Perancis.

Di beberapa negara lain seperti Belanda, pengadil diberikan kuasa budi bicara untuk menghentikan seketika perlawanan pada waktu berbuka puasa. Jadi, dalam aksi antara Excelsior-FC Twente menentang SC Cambuur-FC Emmen yang lalu, pengadil memutuskan untuk memberikan pasukan waktu rehat minum air sebentar.

Tindakan itu juga akan membolehkan pemain beragama Islam berbuka puasa dengan ringkas.