Sebuah portal online dari Thailand, Matichon Online telah mengeluarkan satu artikel mengenai bintang bola sepak mereka, Chanathip Songkrasin yang dikhabarkan telah mendapat perhatian VfB Stuttgart yang beraksi dalam saingan Bundesliga 2018/19.
Lebih dikenali dengan panggilan ‘Messi Jay’, Chanathip berhijrah secara pinjaman dari SCG Muangthong United ke kelab J1 League, Hokkaido Consadole Sapporo selama 18 bulan sebelum mengikat kontrak penuh pada Julai 2018 yang lalu.
Dengan perwatakan sentiasa memberikan senyuman kepada peminat, beliau pantas menjadi ikon bola sepak di Jepun terutama di Hokkaido serta muncul dalam pelbagai slot iklan komersil disebabkan popularitinya.
Keadaan itu bagaimanapun tidak langsung menjejaskan prestasinya diatas padang sejak turun beraksi bersama Hokkaido Consadole Sapporo, dimana sehingga kini Chanathip Songkrasin telah mencatatkan;
- Musim 2017: 16 penampilan, dan 1,301 minit masa bermain tanpa sebarang gol.
- Musim 2018: 30 penampilan, dan 2,369 minit masa bermain serta 8 gol.
- Musim 2019: 12 penampilan, dan 1,075 minit masa bermain serta 1 gol.
Secara keseluruhannya, Chanathip Songkrasin telah merekodkan 58 penampilan, 4,745 minit masa bermain dan 9 gol setakat ini. (Musim 2019 baru memasuki perlawanan ke 13).
https://www.youtube.com/watch?v=HxaPfWQOR0o
Berdasarkan prestasi ini, aksi beliau dikatakan berjaya menarik minat VfB Stuttgart untuk membawa beliau ke Bundesliga samada secara pinjaman atau kontrak penuh.
Namun, menurut portal Matichon Online itu juga, bapa Chanathip sendiri mengesahkan anaknya itu masih belum menerima sebarang tawaran rasmi dari kelab tersebut tetapi akan mempertimbangkan peluang ke eropah itu jika diberikan.