Bekas penyerang skuad kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli memberikan kata-kata semangat serta pesanan kepada enam pemain daripada skuad B-18 tahun negara yang berangkat ke Jepun bagi berguru dengan Cerezo Osaka, FC Tokyo dan JFA Academy.
Menurut Akmal, pemain perlu menampilkan aksi terbaik ketika sesi latihan. Meskipun persekitaran serta budaya sedikit berbeza dengan Malaysia, namun pemain tidak boleh memberikan alasan untuk tidak menampilkan kebolehan yang dimiliki.
Dalam padang, tidak kira umur atau pun dari negara mana kita datang kerana yang penting adalah mereka perlu lakukan yang terbaik. Tidak perlu terlalu menghormati orang Jepun dan jika diberi peluang bermain, buat yang terbaik.
Memang persekitaran dan budaya jadi halangan besar tetapi ketika pergi, ingat balik apa tujuan kita ke sana. Kalau hanya ikut orang hantar dan tidak ada keinginan untuk beraksi di luar negara, susahlah,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Luqman Hakim Shamsudin, Muhammad Firdaus Kaironnisam, Harith Haiqal Adam Afkar dan Ali Imran Sukari menimba ilmu dengan Cerezo Osaka bermula semalam sehingga 13 September ini. Dua lagi pemain iaitu Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman (penjaga gol) dan Ahmad Zikri Mohd Khalili bersama Luqman sekali lagi akan ke JFA Academy dan FC Tokyo pada Oktober depan.
Pada masa yang sama, bekas ketua jurulatih pasukan Kedah, Azraai Khor Abdullah mahu pemain yang dihantar ke Jepun untuk memanfaatkan peluang yang terhidang bagi mempersiapkan diri sebelum bergelar pemain profesional.
Sebelum ini ramai pemain kita hanya pergi sekerat jalan. Jadi buat mereka, kalau mahu jadi pemain profesional, mereka kena lebih tabah dan sukar sikap mereka kerana bukan senang untuk dapat tawaran begini.
“Mereka ada bakat dan sebab itu mereka diberikan peluang ini. Mereka kena tekad, tentukan masa depan dan cuba naikkan nilai mereka sebagai pemain bola sepak,” kata Azraai.
Ketika ini, hanya seorang pemain dari Malaysia yang beraksi dalam saingan Liga Jepun iaitu Hadi Fayyadh Abdul Razak yang menyarung jersi Fagiano Okayama dalam saingan J2 League.
Baca artikel lain mengenai pemain daripada skuad B-18 tahun negara di sini:
Luqman Hakim Janji Aksi Terbaik Sepanjang Latihan Percubaan Bersama Cerezo Osaka