Kelab Bola Sepak Kelantan (TRW Kelantan) kelmarin telah melancarkan Akademi Bola Sepak Antarabangsa (TRW International Football Academy) sebelum sepak mula perlawanan aksi timbal balik TM Piala Malaysia 2022 menentang Sarawak United.
Ia adalah salah satu perancangan daripada pemilik kelab, Norizam Tukiman atau dikenali sebagai ZamSaham untuk melahirkan lebih ramai pemain muda berkualiti di masa depan.
Akademi yang berpengkalan di Jalan Bayam itu menyasarkan 300 pelatih bagi peringkat awal membabitkan lima kategori umur iaitu bawah 16,14,12,10 dan 8 tahun.
Menurut Norizam, akademi tersebut turut dikendalikan oleh beberapa tenaga pengajar yang berpengalaman termasuk jurulatih TRW Kelantan, Rezal Zambery Yahya.
“Kita ubah hotel kepada akademi, dan buat kerjasama dengan beberapa sekolah dan universiti di Kelantan. Alhamdulillah kita terima banyak permohonan bukan hanya di Kelantan tetapi daripada luar seperti Selangor dan Johor,” katanya.
Malah, akademi itu juga bakal bekerjasama dengan beberapa akademi dari negara Afrika.
“Kita turut akan melakukan kerjasama dengan akademik bola sepak daripada beberapa negara di benua Afrika seperti Senegal.
“Banyak negara dari Afrika duduk di rangking terbaik dunia. Misalnya Mali di rangking ke-46 dunia. Sebab itu saya selesa ambil import dari Afrika,” jelas Norizam.
Melalui perkongsian di laman facebooknya sebelum ini, beliau berharap akademi itu dapat melahirkan pemain muda yang berfikir kreatif, berdisiplin dan mempunyai kemahiran teknikal.
“InshaAllah saya serius untuk membina TRW International Football Academy. Main bola sekurang-kurangnya 5 hari seminggu. Belajar dan asah kemahiran teknikal.
“Belajar advanced gameplay dan taktikal. Penerapan etika bola sepak profesional dan latihan kecergasan daripada jurulatih profesional,”tulisnya.
Langkah tersebut turut mendapat reaksi yang positif dalam kalangan penyokong setia Kelantan dan mereka berharap perancangan tersebut menjadi kenyataan seiring dengan kemajuan bola sepak moden.