Ketua jurulatih Kelab Bolasepak Kedah Darul Aman (KDA FC), Aidil Sharin Sahak mahu anak buahnya berwaspada dengan ancaman yang bakal diberikan Melaka United pada aksi terakhir pusingan pertama kempen Liga Super Malaysia 2021, 30 April ini.
Hal ini kerana beliau melihat Melaka berada di landasan tepat untuk meneruskan rentak positif selepas berjaya menundukkan Perak 1-0 di Stadium Perak, Ipoh minggu lalu.
Keadaan itu sudah pasti memberikan laluan sukar buat Kedah untuk mencatatkan kemenangan kedua berturut-turut selepas skuad Lang Merah dua kali bangkit daripada ketinggalan untuk menang 3-2 bertemu Kuala Lumpur di laman sendiri.
Apatah lagi mereka skuad Kedah yang kini menghuni tangga ketiga Liga Super itu akan berkunjung ke Stadium Hang Jebat.
Memetik sumber Berita Harian, Aidil mahu anak buahnya meningkatkan aspek keyakinan diri serta fokus menjelang pertemuan tersebut.
“Tidak mudah apabila menghadapi pasukan yang sudah mendapat rentak kemenangan seperti Melaka United yang dilihat terus bersemangat selepas memperoleh mata penuh di Stadium Perak sebelum ini,” ujar Aidil.
“Kami harus pastikan tidak silap langkah kerana motivasi mereka juga turut melonjak mahu mengutip mata kemenangan seterusnya di laman sendiri.”
“Bagi kami, setiap aspek kelemahan yang ada di semua posisi harus ditangani dengan baik bagi mencari tiga mata,” tambah Aidil Sharin lagi bercakap kepada wakil Berita Harian.
Ketika Kedah selesa sebagai pesaing merebut kejuaraan liga musim ini apabila hanya tiga mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT), Melaka United mampu menarik sedikit nafas lega apabila kemenangan ke atas Perak meletakkan mereka kini di tangga kelapan dengan 10 mata.
Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:
Penang Dapat Saguhati RM10,000 Jika Menang Dalam Setiap Perlawanan
Kuala Lumpur City Kehilangan Khidmat Dominique Da Sylva, Terpaksa Berehat Dua Minggu