Jodoh jurulatih kelahiran Singapura, Aidil Sharin Sahak bersama kelab Liga 1 Indonesia, Persikabo 1973 dilihat sudah sampai ke penghujung.

Baca Juga:

Perkara tersebut disahkan oleh kelab dari Kabupaten, Bogor itu menerusi satu hantaran dilakukan di laman sosial rasmi pasukan, malam tadi.

Mula menyertai Persikabo pada awal Januari lalu yang merupakan pertengahan musim 2022/23, khidmat Aidil terus diperlukan bagi menghadapi musim baharu.

Namun, pengumuman terbaharu itu jelas mengejutkan apatah lagi saingan Liga 1 musim 2023/24 baharu sahaja memasuki perlawanan keempat.

Malah, Persikabo turut menang aksi terakhir bertemu Bhayangkara 3-1 hasil dua jaringan Yandi Sofyan dan satu gol daripada Jose Varela untuk menduduki tangga ke-13 dengan empat mata diraih.

“Terima kasih kerana memberikan ‘warna’ dalam perjalanan Persikabo 1973,’’ menurut kenyataan rasmi dikeluarkan kelab tersebut.

“Terima kasih juga kerana menjadi pemberi motivasi, bapa dan juga rakan yang baik buat kami.’’

“Jumpa lagi ‘coach’, semoga sihat dan berjaya selalu Aidil Sharin.’’

Aidil Sharin memilih untuk berkelana ke Indonesia bagi bersama Persikabo 1973 selepas empat musim membimbing Kedah dimana kejayaan muncul selaku juara Piala FA 2019 menjadi antara kenangan manis beliau bersama skuad Hijau Kuning itu.

Kedah turut beraksi di pusingan ketiga Kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2020 bertemu Seoul FC.

Masa depan Aidil juga turut menarik untuk dinantikan kerana terdapat desas-desus sebuah kelab Liga Super dikatakan berminat membawa beliau kembali berkhidmat di Malaysia.