Pengendali dari Singapura, Aidil Sharin Sahak kembali semula ke Liga Malaysia apabila dilantik sebagai Ketua Jurulatih Kuching City bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Irfan Bakti Abu Salim.

Aidil cukup berpengalaman dalam Liga Malaysia kerana sebelum ini pernah membimbing pasukan Kedah Darul Aman (KDA FC) dari tahun 2019 hingga 2022.

Kemudian, beliau membuat keputusan untuk berhijrah ke Liga Indonesia pada pertengahan musim 2023 melatih pasukan Persikabo 1973.

Antara pencapaian terbaik beliau ialah membawa Kedah muncul Juara Piala FA 2019, Naib Juara Liga Super pada musim 2020 dan 2021, layak ke peringkat Separuh Akhir Zon Asean Piala AFC 2022, termasuklah kejayaan membawa Kedah 3 tahun berturut-turut ke pentas Asia dengan layak ke perlawanan Play-Off Liga Juara-Juara AFC 2020 dan ke saingan Piala AFC pada tahun 2021 dan 2022.

Pengendali berusia 46 tahun ini akan dibantu oleh dua jurulatih tempatan iaitu Coach Firdaus Morshidi dan Coach Zulkarnien Poasa.

Kuching City kini berada di kedudukan kedua tercorot Liga Super dengan 7 mata selepas mengharungi 18 perlawanan.

Aidil mengakui tugas sukar sedang menantinya namun sedia melakukan yang terbaik untuk memastikan pasukan itu kekal beraksi dalam saingan Liga Super tahun depan.

“Tugas saya adalah meningkatkan kembali moral pemain supaya yakin untuk mendapatkan kemenangan.

“Semuanya memerlukan kerjasama berpasukan dan kerja keras serta perlu membalas semua kepercayaan diberikan oleh pihak pengurusan yang telah menyokong pasukan dan pemain.

“Jadi sekarang terpulang kepada barisan kejurulatihan dan pemain untuk beraksi dengan baik dalam padang,” katanya.