Pertahanan Negeri Sembilan FC, Ahmad Khuzaimi Piee percaya pengendalinya, K. Devan tidak melakukan perancangan sesuka hati berkenaan taktikalnya yang dipersoalkan apabila tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT), Sabtu lalu.
Baca Juga:
- Walaupun Herold Goulon Boleh Beraksi Menentang JDT, Devan Enggan Ambil Risiko
- Khuzaimi Piee: Tunjuk Ajar Pemain Senior Banyak Membantu Saya
- Negeri Sembilan Mahu Beraksi Di Pentas Asia Tahun Depan
Baginya, Devan pasti mempunyai alasan tersendiri untuk melakukan setiap taktikal berbeza dalam mana-mana perlawanan dan barisan pemain tetap percaya dengan perancangan beliau.
Apa yang berlaku di Stadium Sultan Ibrahim itu seharusnya dilupakan segera dan pasukan bersedia untuk belajar daripada kesilapan bagi memastikan mereka terus bangkit untuk tidak lagi tercicir mata.
Khuzaimi antara yang tidak diturunkan beraksi apabila digantung perlawanan manakala pemain lain seperti Herold Goulon mengalami kecederaan serta Gustavo Almeida dan Yashir Pinto direhatkan kerana memiliki dua kad kuning.
“Bagi kami, jurulatih sememangnya mempunyai perancangan yang tersendiri dan beliau sentiasa berbincang dengan pemain-pemain dahulu sebelum nak letak dalam kesebelasan utama.
“Perkara itu tidak menjadi masalah untuk kami sebab kami tidak kisah siapa pun yang bermain dan hari itu saya nampak pemain telah melakukan segalanya.
“Memang rasa agak ralat apabila kalah besar tetapi saya percaya jurulatih juga telah melakukan yang terbaik untuk pasukan”, jelasnya.
Khuzaimi bersedia untuk kembali diturunkan membantu pasukan apabila menentang Kedah Darul Aman FC pada Sabtu ini di mana dia percaya aksi itu pastinya bukan mudah sepertimana mereka berdepan JDT.
Namun, tonggak utama Harimau Malaya ini tekad untuk membantu sebaik mungkin selain mengharapkan penyokong tetap berada di belakang pasukan.
“Ketika lawan JDT tempoh hari, saya ada datang tengok perlawanan itu dan walaupun saya tidak bermain, saya boleh nampak rakan-rakan tetap bermain dengan bagus.
“Selepas ini, Insya-Allah saya akan kembali bermain dan kami cuba untuk tidak lagi tercicir mata sebab misi kita adalah untuk slot Piala AFC tahun depan”, tambah Ahmad Khuzaimi Piee lagi.
Negeri Sembilan ketika ini menghuni kedudukan keempat Liga Super dan mengumpul jumlah mata yang sama dengan Terengganu FC yang berada di tangga ketiga dengan 35 mata.