Liga Bolasepak Amatur (AFL) dilaporkan bakal memperkenalkan kuota import untuk pasukan Liga M3 mulai musim depan bagi meningkatkan tahap kualiti saingan.

Menurut laporan Harian Metro, Pengerusi AFL, Datuk Mohd Yusoff Mahadi telah menghantar cadangan tersebut kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi diperhalusi namun belum sebarang keputusan setakat ini.

Pengenalan kuota pemain import juga dikatakan turut akan membantu pasukan Liga M3 lebih bersedia naik ke Liga Super kelak.

“Setakat ini kita sudah bagi beberapa cadangan kepada teknikal FAM tapi belum ada keputusan lagi.

“Memang kita sebenarnya mahu melatih pasukan-pasukan ini kerana apabila mereka naik ke Liga Super mereka akan guna pemain import. Jadi bagaimana mereka hendak main jika tidak mempunyai pengalaman dengan pemain import.

“Jadi faktor pemain import ini juga ada dalam perbincangan kita, jadi kita tunggu jawapan daripada pihak teknikal FAM,” jelas Yusoff Mahadi.

FOTO: AFL

Mulai musim ini, Liga M3 diberi nafas baharu dan kini dikenali sebagai MBSB Bank Championship (Liga Kejuaraan MBSB Bank) yang bermula pada 4 Mac 2023 dan berakhir pada 21 Oktober 2023.

Sebanyak 165 perlawanan dijalankan mengikut format liga membabitkan sekurang-kurangnya enam perlawanan setiap minggu.

Liga ini sudah menjadi liga tier kedua dengan juara berpeluang naik ke saingan Liga Super.  Pasukan Imigresen FC muncul juara Liga M3 musim 2023 dan turut membawa pulang wang tunai bernilai RM100,000.

Yusoff Mahadi turut gembira dengan komitmen yang ditunjukkan oleh setiap pasukan sepanjang perjalanan liga dan beliau tekad naikkan mutu saingan Liga M3.

“Kami perlu fikir bagaimana hendak tingkatkan kualiti liga supaya ia mendatangkan nilai kepada liga sama ada dengan pemain yang lebih baik termasuk pemain import dan mendapatkan hak penyiaran.

“Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan perjalanan liga musim ini dengan semua pasukan memberikan komitmen yang baik ditambah pula penentuan juara ditentukan pada hari terakhir perlawanan yang menambah debaran,” katanya.