Hasrat untuk melihat Malaysia mara ke final Kejuaraan AFF Bawah 23 Tahun (B-23) tidak kesampaian selepas tunduk 1-4 ditangan Vietnam pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Rayong Provincial, Thailand sebentar tadi.

Dua kemenangan yang dilakarkan sebelum ini keatas Indonesia dan Timor Leste nyata belum cukup untuk meningkatkan moral anak buah E. Elavarasan pada perlawanan ini.

Aksi tersusun dipamerkan Vietnam terutamanya pada babak pertama jelas menjadi masalah buat para pemain Malaysia sehingga lawan tersebut berjaya menjaringkan tiga gol.

Malah keadaan itu turut membuatkan jentera tengah Malaysia berada dalam kesukaran untuk mencipta peluang jaringan.

Kem negara tersentak seawal minit kelapan selepas hantaran lintang Nguyen Minh Quang di sebelah kiri pintu gol negara mudah ditolak masuk Dimh Xuan Tien.

Vietnam hampir menambah jaringan susulan situasi hampir sama dengan jaringan pertama itu tetapi percubaan Nguyen Quoc Viet hanya sedikit tersasar di minit ke-29.

Kedudukan berubah pada minit ke-32 setelah kesilapan Muhammad Aliff Izwan Yuslan yang gagal mengawal bola dengan baik di kawasan sendiri disudahkan dengan baik Quoc Viet menerusi satu percubaan daripada luar kawasan penalti bagi menewaskan penjaga gol, Rahadiazli Rahalim.

Malaysia kian tertekan pada minit ke-44 apabila Xuan Tien sekali lagi mudah menolak masuk bola hasil hantaran lintang dilakukan Khuat Van Khang.

Jaringan saguhati kem negara hadir pada minit ke-49 menerusi tandukan Alif Ikmalrizal Anuar setelah menerima hantaran lintang daripada Aliff Izwan.

Jaringan itu jelas mengubah corak permainan skuad negara yang tampil lebih baik untuk memburu jaringan seterusnya bagi merapatkan lagi defisit jaringan.

Namun, usaha mereka tidak membuahkan hasil dan kesempatan itu diambil Nguyen Hong Phuc pada minit ke-85 untuk menambah jaringan keempat, juga menerusi tolakan mudah hasil hantaran lintang.